Polis Tiada Niat Perangkap, Aniaya Rizalman


KUALA LUMPUR - Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata pihaknya menjalankan tanggungjawab secara profesional, adil dan bukannya ada unsur 'perangkap' atau penganiayaan terhadap kes membabitkan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.

Beliau berkata, polis tiada niat yang tidak baik terhadap sesiapa, melainkan mereka mempunyai keterangan terbabit dalam apa-apa perkara menyalahi undang-undang.

"Semua yang kita lakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan surat pemakluman kes berhubung ujian patologi dibuat Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang keputusannya negatif, sudah diserah kepada Rizalman," katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya itu mendapati Rizalman dan beberapa lagi rakannya positif dadah dalam ujian saringan awal air kencing dilakukan ketika serbuan di sebuah pusat karaoke, di Jalan Imbi, di sini, Isnin lalu.


Bagaimanapun, Mazlan mengesahkan keputusan hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap Rizalman yang dihantar ke pihak patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) pula adalah negatif.

Beliau turut mengesahkan surat pemakluman kepada Rizalman berhubung keputusan patologi HKL itu yang viral di media sosial sejak semalam adalah daripada pihak polis.

Katanya, pegawai penyiasat polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi sudah menghantar sampel air kencing saringan awal yang diambil daripada Rizalman sebelum dihantar kepada pihak patologi HKL.

"Memandangkan kes ini menarik perhatian umum dan membabitkan orang kenamaan, polis memohon pihak HKL menyegerakan ujian air kencing itu. Selepas ujian dilakukan, pihak patologi HKL mengeluarkan keputusan mengenainya dan hasilnya adalah negatif.

"Saringan awal dengan alat ujian 'strip' memang sensitif tetapi ujian kedua oleh pihak patologi HKL lebih saintifik kerana ada ujian profesional mengikut kandungan dadah dalam air kencing boleh dikatakan positif. Sebaik ujian dibuat, keputusan dibuat pakar terbabit adalah muktamad," katanya.


Mazlan berkata, pihaknya sudah merujuk kes itu kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) dan tiada tindakan lanjut diambil terhadap Rizalman.

"Sampel air kencing sembilan rakannya yang juga didapati positif pada ujian saringan awal air kencing sebelum itu sudah dihantar, namun belum mendapat keputusan lanjut daripada pihak patologi HKL," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com