Polis Thailand Rampas 651Kg ‘Ice’ Cuba Diseludup Ke Malaysia


BANGKOK – Seminggu selepas merampas 700 kilogram (kg) ‘Ice’ (Crystal Methaphetamine) di Hatyai dan menahan dua suspek rakyat Malaysia, pihak berkuasa Thailand sekali lagi menggagalkan cubaan untuk menyeludup 651kg dadah itu ke negara jiran.

Pemangku Komander Polis Wilayah 9, Lt Jen Ronnasin Phusara berkata pihak berkuasa merampas dadah tersebut (651kg) yang dianggarkan bernilai kira-kira 520 juta Baht (RM66 juta) di kawasan Bangklum, dekat Hatyai, tiga hari lepas.

“Kebanyakan dadah yang dirampas itu akan diseludup ke Malaysia dan kemudiannya dibawa ke negara lain,” katanya kepada media di sini hari ini, sambil menambah bahawa dua lelaki tempatan dipercayai membawa dadah itu berusia 29 dan 37 tahun, ditahan dalam operasi yang dilakukan polis.

Dadah berkenaan, beliau berkata diperoleh dari utara Thailand dan dalam kawalan sebuah sindiket dadah transnasional yang dikenali oleh polis Thai sebagai “Phor Liang Tee”.

Pihak berkuasa melalui siasatan dan maklumat risikan menurut Ronnasin, mengenal pasti sekurang-kurangnya 11 individu dipercayai terlibat dengan sindiket dadah ‘besar’ itu.

Rampasan terbaharu melibatkan 651kg Ice itu dan 700kg Ice pada 28 Mac lepas, menjadikan jumlah dadah jenis tersebut yang dirampas pihak berkuasa Thai di Hatyai sepanjang minggu lepas kepada lebih 1.35 tan, dan dianggarkan bernilai lebih 1 bilion Baht (RM120 juta).

Kedua-dua dadah yang cuba diseludup itu menurut pihak berkuasa Thai, adalah untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Pasukan penyiasat polis memberitahu Bernama, mereka masih belum dapat menentukan sama ada kedua-dua kes tersebut ada kaitan atau didalangi sindiket yang sama.

Berikutan penahanan dua rakyat Malaysia bersama-sama 700kg dadah jenis Ice minggu lepas, polis Malaysia menghantar tiga pegawainya ke Bangkok bagi menyoal siasat kedua-dua lelaki terbabit. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com