Polis Tahan Suspek Terlibat 13 Kes Samun Di Kedah


PENDANG – Polis telah menyelesaikan 13 kes samun bermotosikal di beberapa daerah di negeri ini dengan tertangkapnya seorang lelaki berumur 24 tahun di Perumahan Keda, Kampung Sungai Semiar dekat Sik pada 11 April lepas.

Ketua Polis Daerah Pendang DSP Fadzil Hashim berkata sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang mengadakan serbuan di rumah suspek kira-kira 3.15 petang, sejurus pihaknya menerima laporan kes samun membabitkan seorang wanita, di sini pada 29 Mac lepas.

“Dalam kejadian itu, wanita terbabit mengalami kecederaan parah pada muka dan anggota badan selepas motosikal yang ditunggangi terbabas akibat disamun suspek.

“Soal siasat mendapati suspek mengaku melakukan 13 kes samun di sekitar Pendang, Sik, Baling, Yan dan Kuala Muda sejak penghujung 2016,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Beliau berkata polis turut menemui satu beg tangan, 11 keping kad pengenalan mangsa samun dan dua telefon bimbit, selain merampas motosikal milik suspek.

Fadzil berkata modus operandi suspek yang masih bujang dan tidak bekerja itu ialah menunggang motosikal jenis Yamaha 125 tanpa nombor pendaftaran dan menyasarkan penunggang motosikal wanita yang meletakkan beg tangan di dalam raga kenderaan itu.

Lelaki yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu direman 14 hari bermula tarikh dia ditangkap dan kes disiasat menurut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, katanya seramai 287 anggota dan pegawai polis ditugaskan sepanjang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di daerah itu dan 128 anggota lagi ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terkawal pada hari penamaan calon Sabtu ini.

“Jalan di hadapan Pejabat Tanah dan Daerah Pendang terlibat dalam penutupan jalan, bermula 8 hingga 11 pagi pada hari penamaan calon itu. Saya beri amaran, jangan timbulkan masalah yang boleh menjejaskan proses penamaan dan pengundian nanti,” katanya. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com