Polis Tahan Lelaki Cabut Bendera Parti


POLIS menahan lelaki susulan kes merosakkan bendera Barisan Nasional (BN) di persimpangan Jalan Sultan Abdul Samad/Jalan Tun Sambanthan 4, Brickfields, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, suspek berusia 48 tahun itu ditahan di tempat cuci kereta di Brickfields pada 6.30 petang.

“Setakat ini siasatan menunjukkan suspek tidak diupah oleh mana-mana pihak untuk melakukan perbuatan itu yang dikesan berlaku 11.30 malam pada 8 April lalu.

“Ketika kejadian, suspek dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol akibat mengambil minuman keras. Bagaimanapun siasatan masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dan suspek kini direman empat hari sehingga esok sebelum kes dirujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan seterusnya.

“Pihak polis amat memandang serius insiden seumpama ini dan kita meminta orang ramai supaya tidak mengambil sebarang tindakan yang membelakangkan undang-undang.

“Perbuatan merosakkan harta milik sesiapa pun di tempat awam termasuk dalam kategori melakukan perbuatan khianat dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” kata Ruslan lagi.

Menurut beliau, pihak polis akan sentiasa memantau perbuatan seumpama itu dan akan memastikan pihak yang terbabit disiasat, ditangkap dan dituduh.

Selasa lalu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bintang, Jefree Zain Affendi Dan Yuhan membuat satu laporan polis selepas viral satu klip video menunjukkan seorang lelaki mencabut dan merosakkan bendera BN yang dipasang pihaknya di lokasi terbabit.

Menerusi rakaman berdurasi 15 saat itu, kelihatan seorang lelaki berbaju gelap dan bertopi besbol merentap tiga bendera BN yang dipasang di tepi jalan persimpangan laluan terbabit sebelum membuangnya.

Tindakan suspek dipercayai dirakam oleh orang awam yang melihat kejadian itu sebelum ia viral di media sosial.

Sumber -Hmetro

#BersamaBN
#HebatkanNegaraku
#DahulukanRakyat
#JomBN.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com