Polis Sahkan Hasil Ujian Air Kencing Rizalman Negatif


KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar adalah negatif.

Kenyataan itu sekali gus mengesahkan surat makluman dikeluarkan berhubung keputusan ujian saringan air kencing dilakukan terhadap Rizalman yang tular di media sosial sejak, semalam adalah daripada pihak polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pegawai penyiasat polis Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi sudah menghantar sampel urin saringan awal yang diambil daripada Rizalman sebelum dihantar kepada pihak patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Memandangkan kes ini menarik perhatian umum dan membabitkan orang kenamaan, polis memohon daripada pihak HKL untuk disegerakan.

"Selepas ujian dilakukan, pihak patologi HKL mengeluarkan keputusan urin terbabit adalah negatif," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mazlan berkata, pihaknya sudah merujuk kes itu kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) dan tiada tindakan lanjut diambil terhadap Rizalman.

"Sampel urin sembilan rakannya yang juga didapati positif pada ujian saringan awal air kencing sudah dihantar, namun belum mendapat keputusan lanjut daripada pihak patologi HKL.

"Pihak polis melaksanakan tanggungjawab ini secara profesional, adil, saksama dan bukannya ada unsur 'perangkap' serta penganiayaan.

"Semua ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan surat pemakluman kes sudah diserah kepada Rizalman," katanya.

Sumber:BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com