Polis Di Indonesia Mesti Boleh Hafal Al-Quran


TAHUN lalu, Indonesia gempar apabila calon politik mahu tanding jawatan gabenor di Aceh wajib mahir bacaan al-Quran sebelum layak menyertai proses pilihan raya wilayah autonomi Islam itu.

Namun mulai tahun ini, beberapa pasukan polis daerah (Polda) di seluruh Indonesia mula menetapkan syarat dalam pemilihan anggota baharu dengan kelulusan khusus bagi calon hafal al-Quran, menurut laporan media tempatan.

Polda Wilayah Jawa Timur, misalnya, menjamin setiap calon yang mampu menghafal kitab suci tersebut hingga 30 juzuk akan langsung lulus diterima sebagai bakal anggota dalam pelbagai jabatan Polis Republik Indonesia (Polri).

Ketua Divisyen Hubungan Masyarakat Polda itu, Frans Barung Mangera, menjelaskan anggota polis yang hafaz al-Quran akan diberi tugas khas untuk membentuk keperibadian masyarakat melalui kegiatan bercorak keagamaan.

“Kita berharap anggota yang memiliki kemampuan terutama dalam bidang agama, termasuk hafal al-Quran 30 juz, 20 juz, atau pun 10 juz itu dapat masuk menyantuni masyarakat,” ujar beliau kepada portal berita BBC Indonesia.

“Ini kita berharap mereka bakal menjadi dai’ (pendakwah) yang masuk ke pesantren mahu pun ke masjid dalam rangka menyampaikan tugas kepolisian yang meliputi bidang keamanan dan ketertiban masyarakat,” jelas Frans.

Untuk rekod, syarat serupa dilaksanakan Polda Wilayah Jawa Barat dan Jawa Tengah untuk pengambilan anggota baharu tahun lalu, sekali gus melengkapkan seluruh pulau terpadat manusia di dunia itu dengan mereka yang hafiz.

Usaha rekrut anggota polis hafal al-Quran sebenarnya sudah mula dilakukan Polda Wilayah Sumatera Selatan dan Markas Besar Polri (Mabes) di wilayah Jakarta sejak 2014 bagi kekang gejala negatif dalam pasukan uniform itu.

Ia mengikut jejak langkah Polda Wilayah Aceh yang merintis anggota hafiz kitab itu sejak hukum syariah diwartakan pada 2004 di samping syarat asas dapat baca al-Quran dengan lancar jika calon terbabit tidak pula mampu hafal.

Bagaimanapun syarat wajib Polri iaitu ketinggian minimum tubuh badan untuk lelaki 165 sentimeter dan wanita 158 sentimeter selain ujian kesihatan, tidak berkanta dan sebagainya masih tetap ada. – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com