Polis Benar Juruaudit 1MDB Rujuk Dokumen Asal


SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi kebenaran kepada juruaudit 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk merujuk dokumen milik syarikat itu yang disita pada 2015, bagi tujuan audit kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, berkata rujukan dokumen terbabit penting bagi membolehkan jabatan audit melengkapkan laporan kewangan syarikat pelaburan strategik itu bagi tahun 2015 dan 2016.

"Untuk tujuan audit, kita kena gunakan dokumen asal. Jadi, adalah penting untuk kita dapatkan dokumen asal lejar, invois, perjanjian dan sebagainya.

"Sekarang ini anak syarikat 1MDB sudah melengkapkan laporan kewangan masing-masing. Cuma yang tertangguh adalah syarikat induk iaitu 1MDB," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program Ceramah Isu Semasa IMDB dan GST di Seksyen 16 di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah Komunikasi Strategik di Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam.

Pada November 2017, Kementerian Kewangan dilaporkan tidak dapat memberitahu berapa lama penyata kewangan 1MDB bagi 2015 dan 2016 dapat disiapkan kerana juruaudit masih memerlukan dokumen yang dirampas PDRM pada Julai 2016 berhubung siasatan ke atas 1MDB.

Dalam pada itu, ditanya jangkaan untuk 1MDB menyiapkan laporan kewangan itu, Arul berkata tiada tempoh masa ditetapkan kerana ia membabitkan urusan dengan PDRM.

Dalam perkembangan lain, Arul sekali lagi menegaskan hasil Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak pernah digunakan untuk membayar hutang syarikat pelaburan negara itu.

Beliau mengakui hutang 1MDB ketika ini berjumlah RM31 bilion, namun hutang itu dipadankan dengan pelbagai projek hartanah yang sedang dijalankan.

"Malah, 1MDB memiliki aset bernilai RM43 bilion. Jadi, kadar hutang dan aset IMDB adalah pada kadar seimbang.

"Seharusnya, kejayaan 1MDB diukur berdasarkan kejayaan syarikat ini menzahirkan pembinaan dua projek meganya Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia.

"Saya minta pemimpin pakatan pembangkang berhujah secara matang. Mereka (pakatan pembangkang) suka menyebarkan berita sekerat jalan, mereka tidak ceritakan sepenuhnya," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com