PM Janji Isu Denggi, Sampah Diatasi Jika Tawan Selangor


JAMINAN… Datuk Seri Najib Razak berkata, masalah sampah dan denggi teruk di Selangor hanya boleh selesai sepenuhnya jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat mentadbir semula negeri itu.

Perdana Menteri berkata, Selangor tidak seharusnya digelar ‘darul sampah atau darul denggi’ hanya disebabkan kerajaan negeri pimpinan pembangkang tidak mampu menyelesaikan masalah berkenaan.

“Sekarang masalah air di Selangor, kita letak paling tinggi sekali untuk diselesaikan, tetapi ini pula masalah sampah dan denggi. Kita tidak mahu Selangor menjadi darul sampah atau darul denggi.

“Saya beri jaminan jika BN diberi mandat semula untuk mentadbir (Selangor) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), semua masalah ini akan kita selesaikan, masalah air juga akan selesai,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi BN berucap selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Hospital Kajang (Kompleks Wanita dan Kanak-kanak) di sini, semalam.

Turut hadir ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Mengulas lanjut, Najib berkata, projek naik taraf Hospital Kajang adalah langkah Kajang sebenar berbanding langkah sama dilakukan pembangkang pada tahun 2014 yang disifatkan gagal.

“Ada dua langkah Kajang berbeza, pertama yang dilakukan pembangkang pada 2014 tetapi tidak sampai matlamat berbanding BN dengan projek Transit Aliran Massa (MRT) dan kali ini projek naik taraf Hospital Kajang.

“Inilah langkah Kajang sebenar yang kita buat, memberi manfaat kepada rakyat, malah naik taraf Hospital Kajang menjadi kenyataan,” katanya.

Mengenai projek naik taraf Hospital Kajang, Perdana Menteri berkata, projek bernilai RM304.5 juta itu membabitkan pembinaan Kompleks Wanita dan Kanak-kanak yang dijangka siap pada tahun 2021.

“Pada 8 September 2015, saya melakukan lawatan mengejut ke Hospital Kajang tanpa memberitahu menteri berkaitan untuk melihat sendiri keadaan sebenar.

“Tiba-tiba saya tercegat di depan (hospital) dan dapat lihat keadaan sebenarnya dihadapi rakyat. Memang benar Hospital Kajang terlalu sesak dengan pesakit dan keadaan bangunan terlalu uzur, maklumlah ia dibina sejak 1889.

“Dalam ucapan Bajet 2016, saya mengumumkan Hospital Kajang akan dinaik taraf dengan peruntukan lebih RM300 juta. Tetapi Noh bisik kepada saya, apa guna ada hospital moden tetapi air terputus,” katanya.

Kompleks Wanita dan Kanak-kanak Hospital Kajang bakal menempatkan 272 katil, selain 14 bilik bersalin, enam bilik bedah dan kemudahan klinik pakar serta pusat harian.

Sumber – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com