PKR Tanding 6 Parlimen, 10 DUN Kedah


ALOR SETAR - PKR akan bertanding di enam kerusi Parlimen dan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengumuman senarai calon itu dibuat Ketua Sekretariat pakatan pembangkang Kedah, Dr Abd Rahman Ahmad pada majlis memperkenalkan semua calon pakatan itu di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi pakatan pembangkang negeri merangkap Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Abdul Rahman berkata, Pengerusi PKR Kedah, Dr Azman Ismail akan mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Kedah manakala Penasihat PKR negeri Datuk Johari Abdul juga mahu mengekalkan kerusi Parlimen Sungai Petani selain bertanding kerusi DUN Gurun.

Kerusi Parlimen Alor Setar pula akan ditandingi Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perlis, Chan Ming Kai; Ketua Wanita Keadilan Kedah, Nur Azrina Surip@Nurin Aina Abdullah (Parlimen Merbok); Ketua Cabang Keadilan Padang Serai, M Karupaiya (Parlimen Padang Serai) dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (Parlimen Kulim-Bandar Baharu).

Calon lain DUN ialah Ketua Cabang Keadilan Padang Terap Hashim Idris yang bertanding di Pedu, Setiausaha Keadilan Kedah, Che Mat Dzaher Ahmad (Bukit Pinang); Naib Pengerusi PKR negeri, Zamri Yusof (Suka Menanti); R Summugam (Bukit Selambau); Pengarah Komunikasi PKR Kedah, Ooi Tze Min (Bakar Arang) dan Ketua Cabang Keadilan Sungai Petani Robert Ling Kui Ee (Sidam).

Ketua Penerangan PKR Kedah Mohamad Sofee Razak pula akan bertanding kerusi DUN Kuala Ketil; Anggota Jawatankuasa PKR Kedah, Azman Nasrudin (Lunas) dan Naib Ketua Cabang Kulim-Bandar Baharu, Yeo Keng Chuan (Kulim).

Dalam pada itu, calon DAP hanya bertanding di dua kerusi DUN iaitu Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew dan Setiausaha Eksekutif DAP Kedah, Teh Swee Leong dengan masing-masing akan menjadi calon di DUN Derga dan Kota Darul Aman.

Pakatan pembangkang menempatkan calon di semua 15 kerusi Parlimen dan 36 DUN di Kedah. - BERNAMA

SENARAI CALON PKR KEDAH

PARLIMEN:

P009- ALOR SETAR - Chan Ming Kai

P010- KUALA KEDAH - Dr Azman Ismail

P014- MERBOK - Nor Azrina Surip@Nurin Aina Abdullah

P015- SUNGAI PETANI - Johari Abdul

P017- PADANG SERAI - M. Karupaiya

P018- KULIM-BANDAR BAHARU - Saifuddin Nasution Ismail

DEWAN UNDANGAN NEGERI:

N08- PEDU - Hashim Idris

N10- BUKIT PINANG - Che Mat Dzaher Ahmad

N12- SUKA MENANTI - Zamri Yusuf

N22- GURUN - Johari Abdul

N25- BUKIT SELAMBAU - R.Summugam

N28- BAKAR ARANG - Ooi Tze Min

N29- SIDAM - Robert Ling Kui Ee

N32- KUALA KETIL - Mohamad Sofee Razak

N34- LUNAS - Azman Nasrudin

N35- KULIM - Yeo Keng Chuan

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com