PKR Pulau Pinang Hilang Arah Punca Wan Azizah ‘Lari’ Ke Pandan?


SEOLAH-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang ketika ini selepas semua nama-nama besar dalam parti itu `hilang’ dalam senarai calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Paling ketara ialah Presidennya sendiri iaitu penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang digantikan anaknya, Nurul Izzah Anwar.

Pemerhati politik menilai, perpindahan Wan Azizah itu disebabkan PKR tidak lagi berasakan Parlimen Permatang Pauh kerusi selamat dan kubu kuat mereka pada PRU-14.

Wan Azizah berkemugkinan boleh kehilangan kerusi tradisi keluarganya itu berdasarkan senario politik semasa termasuk apabila Pas turut meletakkan calonnya di situ.

Sehubungan itu, PKR dilihat tidak sanggup memperjudikan kedudukan politik Wan Azizah kerana kekalahan di kerusi tersebut bakal memberi kesan besar kepada maruah serta imej beliau dan parti.

Disebabkan itu juga, Wan Azizah berpindah ke kerusi Parlimen Pandan yang diketahui kubu kuat pembangkang sekali gus menjamin talian hayat politiknya serta PKR.

Pemilihan Nurul Izzah bagi bertanding di Parlimen Permatang Pauh pula kerana kerusi itu perlu dipastikan menjadi tradisi dan diwarisi keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, Nurul Izzah juga dilihat boleh menyeimbangkan kebangkitan pengaruh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said yang semakin mendapat tempat dalam kalangan penduduk Permatang Pauh.

Dengan Pas mencalonkan Ketua Pemuda Pulau Pinang, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang juga bukan calang-calang pemimpin sebagai calon, Parlimen Permatang Pauh pasti menjadi antara kerusi tumpuan dan panas pada PRU-14.

Selain pertukaran antara Wan Azizah dan Nurul Izzah, senarai calon PKR Pulau Pinang turut menyaksikan Exco kerajaan negeri digugurkan bersama-sama Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mereka ialah bekas Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim yang merupakan penyandang DUN Batu Maung serta Datuk Low Choo Kiang (Bukit Tambun) dan Datuk Maktar Shapee (DUN Sungai Bakap).

Turut digugurkan ialah penyandang DUN Kebun Bungah, Cheah Kah Peng; Ong Chin Wen (DUN Bukit Tengah) dan Dr. T. Jayabalan (DUN Batu Uban).

Ketiga-tiga bekas ADUN ini sebelum ini dikenali sebagai ADUN berhaluan kiri selepas kerap mengambil tindakan bertentangan dengan Kerajaan DAP Pulau Pinang sehingga menimbulkan rasa kurang senang DAP.

Bagaimanapun, dua lagi ahli kumpulan PKR `5 bersaudara’ itu terselamat selepas dikekalkan sebagai calon pada PRU-14 iaitu Dr. Norlela Ariffin (Penanti) dan Lee Khai Loon (Machang Bubuk).

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang merupakan penyandang DUN Pantai Jerejak pula bertukar ke Johor dan bertanding di kerusi Parlimen Batu Pahat.

Pengguguran tujuh daripada 10 penyandang DUN PKR di Pulau Pinang itu jelas sesuatu yang mengejutkan dan sukar diterima bagi penyokong PKR di negeri ini.

Apatah lagi calon-calon muka baharu yang disenaraikan pula disifatkan orang luar dan asing dalam kalangan penyokong mereka termasuk Setiausaha Agung PKR yang juga Penasihat Strategik kepada Ketua Menteri, Datuk Saifuddin Nasution.

Saifuddin bakal bertanding di DUN Pantai Jerejak sekali gus menjawab desas-desus sedang dipersiapkan untuk menjadi Timbalan Ketua Menteri I sekiranya DAP mempertahankan negeri ini pada PRU-14. 

Sumber – theRakyat

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com