Pilihan Raya Yang Sukar Diramal


Di saat Pakatan Harapan (HARAPAN) dan BN masing-masing yakin akan menang, manakala pandangan penganalisis pula berpihak kepada BN, ahli akademik dan penganalisis politik Malaysia Bridget Welsh berkata PRU kali ini masih penuh dengan ketidaktentuan.

Pensyarah Universiti John Cabot Italy itu berkata, walaupun dengan kelebihan struktural seperti persempadanan semula yang memihak kepada BN, persaingan antara dua gabungan politik itu masih sengit dan terbuka.

Justeru beliau berpandangan tempoh sebelas hari kempen nanti akan menjadi lebih penting berbanding PRU sebelumnya.

"Kempen (PRU ke-14) bersifat cair dan penuh dengan ketidaktentuan...Tiada siapa yang dapat meramalkan keputusannya dengan pasti," katanya (gambar) dalam rencana disiarkan Malaysiakini, hari ini.

Beliau memberikan lima faktor bagi menyokong hujahnya. Faktor pertama adalah pertembungan tokoh iaitu antara Mahathir dan Najib.

"Pada 2013, pilihan raya adalah tentang (faktor) Najib. Kali ini juga serupa, tetapi berbanding sebagai kekuatan, Najib menjadi beban...Pilihan raya ini kelihatan lebih kepada survivalnya, bukan kepentingan parti atau negara.

"Mahathir juga tokoh yang membuatkan ramai berbelah bahagi. Walaupun tahap korupsi tidak seteruk Najib, Mahathir ketika pentadbirannya telah menjejaskan demokrasi di Malaysia.

"(Tetapi) Pada usia 92 tahun, Mahathir membangkitkan semangat negarawan dan (penglibatannya) kelihatan bukan untuk kepentingan diri," katanya.

Katanya yang pernah menjadi felo di The Habibie Centre Indonesia, dua tokoh ini membawa legasi masing-masing dalam pertembungan mereka dan akan memaksa pengundi memilih pihak yang "kurang ditentang".

PAS keluar, BERSATU masuk

Faktor kedua, katanya lagi, berkaitan bertambahnya kerusi yang sengit serta pertembungan tiga penjuru akibat keluarnya PAS daripada pembangkang, meningkatkan lagi persaingan di sana.

"Pada 2013, hampir 50 peratus kerusi disaingi dengan sengit, dengan 32 peratus daripadanya dimenangi dengan majoriti kurang 10 peratus. Kali ini peratusan kerusi itu dijangka meningkat sehingga 65 peratus," katanya.

Katanya, ia disebabkan pertembungan tiga penjuru, kewujudan BERSATU dan peningkatan kerjasama parti tempatan di Sabah.

"PAS dilaporkan akan bertanding di 126 kerusi, menjadikan pertembungan tiga penjuru fenomena seluruh negara. Ia memberi kelebihan kepada BN...Tetapi ia menyebabkan margin kemenangan berkurang dan ini boleh memberikan kejutan.

"Politik Sabah pula terus bersifat pelbagai parti, tetapi pembangkang yang semakin bersifat tempatan menonjolkan lagi politik etnik dan kesetiaan tokoh. Ditambah pula dengan gelombang semangat Borneo, ia menjadikan persaingan lebih sengit," katanya lagi.

Di semenanjung pula, pengarang Regime Resilience in Malaysia and Singapore itu berkata politik identiti berteraskan kaum dan agama kali ini melalui istilah 'tsunami Melayu' dan agenda Islam oleh PAS.

"Jika dulu ada 'tsunami Cina' yang dicanang BN, pembangkang kali ini muncul dengan istilah 'tsunami Melayu' yang menggunakan pembingkaian etnik yang sama.

"Lebih merumitkan dinamik ini, PAS membawa agenda Islamnya sendiri...yang disokong dalam diam oleh Umno. Berbanding membina jambatan, ia lebih kepada perpisahan dan kelebihan satu komuniti berbanding yang lain."

Atas pagar, tak mahu mengundi

Welsh turut membangkitkan tinjauan yang menunjukkan lebih satu pertiga pengundi berdaftar masih berada di 'atas pagar', menjadikan tempoh kempen lebih penting.

Beliau bagaimanapun berkata keputusan lebih penting yang perlu dibuat bukannya pihak mana yang perlu diundi, tetapi sama ada perlu keluar mengundi.

"Parti mana yang mampu membawa pengundinya keluar akan mendapat kelebihan. Jentera BN lebih kuat tetapi dengan mengambil kira rasa tidak suka pengundi BN sendiri terhadap Najib, ia bukan jaminan.

"Halangan pembangkang (HARAPAN) pula lebih besar selepas kehilangan PAS yang dahulunya menjadi tulang belakang jentera Pakatan Rakyat," katanya.

Pada akhirnya, katanya lagi, segmen pengundi ini yang perlu ditumpukan HARAPAN dan BN.

"Kedua-dua BN dan pembangkang yakin akan menang, tanpa melihat betapa ramai pengundi yang hanya berada di tepi, memerhati dan memikirkan pihak mana yang akan dipilih.

"Suasana pada masa ini tidak didominasi harapan dan kegembiraan, tetapi penuh ketidaktentuan dan ketidakpastian. Tempoh kempen akan menjadi lebih penting berbanding biasa," katanya lagi.

Sumber: Malaysiakini

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com