Pilihan Mahathir Lawan Di Langkawi Boleh ‘Makan Diri’


ALOR SETAR – Setelah 19 tahun 'bersara' daripada tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU), Tun Dr Mahathir Mohamad kini mahu melakukan 'come back' dengan memperjudikan nasibnya di Langkawi dengan bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pengumuman bertanding bagi merebut kerusi Parlimen Langkawi yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu menimbulkan pelbagai pertanyaan, amat menghairankan mengapa Mahathir tidak bertanding di Kubang Pasu, yang menjadi kubu kuatnya selama 30 tahun?

Pakar Strategis Geopolitik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata, 'come back' Mahathir di Langkawi mungkin kerana mahu 'menuai' segala sumbangannya kepada pembangunan di kawasan itu.

Azmi berkata hanya di Langkawi sahaja Mahathir dapat melihat peluangnya jika dinilai bersandarkan kepada sentimen penduduk di situ yang sebelum ini memandang tinggi sumbangannya dalam pembangunan pulau bebas cukai itu.

“Memang benar pembangunan, kemajuan serta kemakmuran Langkawi itu dibawa atau disumbang oleh Tun Mahathir… Tetapi perlu diingat juga, siapa di belakangnya? Parti mana yang mendukungnya ketika itu?

“Jadi, kita lihat strategi yang diguna pakai Tun Mahathir sekarang adalah hanya bersandar kepada sentimen pengundi sahaja…percubaan untuk bermain dengan sentimen pengundi adalah percaturan yang boleh memakan dirinya,” katanya memetik Bernama kelmarin.

Mahathir jangan lupa dulu, kehadiran PAS untuk bertanding di Langkawi juga boleh menyebabkan berlakunya pertembungan tiga penjuru dan mampu memberi tentang kepadanya.

Nawawi Ahmad, 56, memenangi kerusi Parlimen Langkawi buat pertama kalinya setelah mengalahkan calon PKR Ahmad Abdullah dengan majoriti 11,861 undi pada PRU13.

Memandangkan PAS tidak lagi bersama pakatan pembangkang, Azmi berkata kebarangkalian untuk berlaku perpecahan undi dalam kalangan penyokong pembangkang adalah lebih besar dan perkara itu akhirnya pasti sedikit memberi peluang kepada BN.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik, Dasar dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib pula berpendapat perpecahan pakatan pembangkang hanya akan memberi kemenangan kepada BN jika tiada pembelotan dari dalam gabungan parti pemerintah itu.

Bahkan BN juga dinasihatkan tidak terlalu selesa sabaliknya perlu berjaga-jaga dan tidak memandang rendah kepada kemampuan Mahathir dalam usaha memenangi hati pengundi Langkawi.

“Tun Mahathir sendiri merupakan orang Kedah, mempunyai latar belakang BN di Kedah dan beliau faham apa yang orang Kedah mahukan. Jadi, tidak mustahil sentimen Tun itu mampu menarik perhatian pengundi-pengundi di Kedah.

“Akan menjadi masalah kepada BN jika ada ahlinya yang melakukan protes secara senyap. Ancaman dalaman yang antaranya berpunca daripada mereka yang tidak tercalon, perlu juga diberikan perhatian,” katanya.

Sebaliknya, jika penyokong dan ahli BN tetap setia kepada parti dan kepimpinan parti, Tun Mahathir akan menghadapi laluan yang sukar di Langkawi.

“Walaupun Langkawi merupakan kawasan yang maju namun, gaya politik di Langkawi masih bersifat luar bandar.

“Sekiranya calon BN boleh memikat hati pengundi di Langkawi yang masih berpegang kepada konsep kekeluargaan, keharmonian hidup bermasyarakat, dan kemakmuran ekonomi, BN tidak akan menghadapi masalah,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com