Pertembungan Tiga Penjuru Merbok


MERBOK - Kesemua kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini sah akan ditandingi secara tiga penjuru setelah tamat tempoh penamaan calon pada pukul 10 pagi tadi.

Pengumuman rasmi berhubung perkara itu dibuat Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon Bahagian Pilihan Raya tersebut, Md. Nordin Yahaya di hadapan para penyokong serta calon-calon bertanding kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Bagi Parlimen Merbok, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pen­didikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain yang juga Ketua UMNO Bahagian itu bakal berdepan calon Pas, Ahmad Fauzi Ramli dan Ketua Wanita PKR negeri, Nur Azrina Surip @ Nurin Aina Abdullah.

Naib Presiden MIC, Datuk Jaspal Singh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MIC negeri bakal ditentang calon Pas, Dr. Mohd. Ali Sulaiman serta Dr. R. Summugam dari PKR.

Untuk Parlimen Tanjung Dawai pula, Naib Ketua UMNO Bahagian, Annuar Ahmad akan dicabar calon Pas, Hanif Ghazali dan calon gabungan pembangkang PKR, Mejar (B) Annuar Abd. Hamid.

Suasana di sepanjang majlis penamaan calon yang berlangsung di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok itu dilihat terkawal dengan calon-calon BN dan Pas diiringi hampir 1,000 penyokong masing-masing manakala di pihak gabungan pembangkang PKR kurang 200 orang.

Situasi sama turut berlaku di Parlimen Padang Serai dengan semua kawasan Parlimen dan DUN ditandingi secara tiga penjuru.

Bagi kerusi Parlimen, bekas Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan negeri, Datuk Dr. Leong Yong Kong yang mewakili BN akan ditentang calon Pas, Muhammad Sobri Osman dan M. Karupaiyyah dari PKR.

Ketua UMNO Bahagian, Datuk Asmadi Talib pula akan bertanding di Dun Merbau Pulas, untuk menentang Ketua Dewan Muslimat Pas negeri, Datuk Dr. Siti Aishah Ghazali dan Abd. Razak Salleh dari gabungan pembangkang PKR.

Di Lunas pula, calon BN, N. Thuraisingam bakal berdepan cabaran Ahmad Taufik Baharum dari Pas serta penyandang kerusi tersebut dari PKR, Azman Nasrudin.

Pengumuman mengenai senarai calon itu dibuat Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon Bahagian Pilihan Raya tersebut, Mohamad Che Nai selepas tamat tempoh penamaan calon Pejabat Daerah dan Tanah Kulim.

Sumber: Utusan

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com