Pertembungan Ideologi Dalam Pembangkang Akan Rosakkan Negara


POKOK SENA - Datuk Seri Najib Razak mengulangi peringatan bahawa pertembungan ideologi dalam pakatan pembangkang boleh menjejaskan urus tadbir negara seterusnya memberi kesan kepada ekonomi dan rakyat, sekiranya mereka berkuasa.

Perdana Menteri berkata, perkara terbabit dapat dilihat apabila pemimpin utama pakatan pembangkang dalam temubual dengan media Singapura mendedahkan terdapatnya pemimpin berfahaman sosialis dalam gabungan pembangkang.

Malah, Najib berkata, pemimpin terbabit turut mengakui sendiri tidak yakin gabungan pembangkang mampu menunaikan semua perkara yang dijanjikan dalam manifesto mereka.

"Belum apa-apa, sudah ada pertembungan ideologi. Apabila bertembung maka bertembung dasar sehingga menjadikan mereka tidak sehaluan dan tidak seia sekata terutama dalam urus tadbir negara.

"Kepincangan seperti itu dalam pakatan pembangkang bukanlah perkara kecil kerana pertembungan ideologi akan membawa kepada pertembungan dasar. Ia amatlah serius kerana menyebabkan rakyat kerugian dalam kerugian.

"Jika tidak dalam penderitaan, sudah tentu rakyat kerugian kerana manifesto mereka hanya tinggal dalam kertas dan tidak mungkin akan diterjemahkan sebagai realiti.

"Apabila pembangkang tidak sepakat, tidak seperti Barisan Nasional, maka kita perlu tanya diri kita, tepuk dada kita, ...siapakah antara dua pihak, tiga pihak atau pun empat pihak yang boleh menjaminkan hari esok lebih baik dari semalam," katanya.

Beliau berkata demikian pada program sepagi bersama Perdana Menteri sempena majlis pelancaran pembinaan rumah Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Bukit Pinang di Kampung Padang Tembak di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Projek itu membabitkan cadangan pembinaan tiga fasa unit kediaman iaitu rumah teres dua tingkat dan apartmen yang akan dijual pada harga antara RM173,560.00 hingga RM355,360.

Fasa satu projek itu membabitkan pembinaan 183 unit rumah teres dua tingkat diikuti oleh Fasa dua, pangsapuri 10 tingkat membabitkan empat blok yang mempunyai 504 unit rumah, bangunan komuniti dua tingkat yang menempatkan sembilan unit kedai, kafeteria, tadika, surau, dewan serbaguna dan perpustakaan.

Bagi fasa tiga, sebanyak 172 unit rumah teres dua tingkat.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com