Perkeso Kedah Beri Pampasan Kepada Balu Kontraktor TM Dirempuh Kereta


ALOR SETAR - Balu seorang kontraktor Telekom Malaysia (TM) yang maut dirempuh  sebuah kereta ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan kabel bawah tanah di Jalan Burma, George Town, Pulau Pinang pada 4 April lalu menerima pampasan berupa Faedah  Pengurusan Mayat daripada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Nor Suraida Harun, 29 yang merupakan balu kepada Allahyarham  Omar Osman, 40 turut menerima Faedah Orang Tanggungan berupa pencen bulanan sebanyak RM930 sebulan bersama  anak tunggal mereka Adam Adli Omar, 4.

Nor Suraida yang tidak bekerja itu berkata dia reda dengan ketentuan Illahi dan bersyukur dengan bantuan Perkeso yang dapat meringankan bebannya.

"Saya hilang tempat bergantung kerana selama ini abang (Omar) yang bekerja untuk menyara kami dua beranak kerana saya tidak bekerja," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Mati, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi Rabu lalu, Omar yang sedang melakukan kerja-kerja penyelengaraan kabel bawah tanah dirempuh sebuah kereta menyebabkan mangsa terperosok ke dalam lubang dan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Seorang pekerja, Amran Osman, 48, yang merupakan abang mangsa turut mengalami kecederaan di bahagian tepi mata dan tangan kanan akibat terkena papan tanda yang terpelanting dirempuh kenderaan tersebut.

"Kami dah bekerja sejak 20 tahun lalu dan tak pernah berlaku kejadian sebegini kerana segala peraturan dan prosedur yang ditetapkan ketika melakukan tugas telah diikuti,  lagipun kejadian berlaku cuma tinggal kira-kira lima minat untuk disiapkan," katanya memetik Bernama.

Terdahulu, Nor Suraida menerima kunjungan Pengarah Perkeso Kedah, Mamsor Abdul Manaf  yang turut menyampaikan cek Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 semalam.

Sementara itu, Mamsor berkata, Perkeso mengesahkan kejadian yang menimpa Allahyarham Omar sebagai Bencana Kerja mengikut Seksyen 2(6) Akta Keselamatan Sosial Pekerja, sekali gus melayakkan Nor Suraida menerima faedah tunai secara bulanan dalam bentuk pencen di bawah skim Faedah Orang Tanggungan yang akan dibayar mulai Mei ini.

"Kita akan bayar pencen sepanjang hayat balu Allahyarham bersama  seorang anaknya  sehingga anaknya mencapai umur 21 tahun atau selepas menamatkan pengajian peringkat Ijazah di mana-mana universiti," ujarnya.

Jelasnya, Perkeso sentiasa bertindak pantas sekiranya pihak majikan melaporkan segera kejadian yang menimpa pekerja yang mencarum dengan pertubuhan itu bagi  membolehkan waris  menerima faedah  yang disediakan.-Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com