Perang! Mesti Perang Kali Ini..! - "Iron Lady" Kedah


PENDANG - Ketua Wanita UMNO Pendang, Datuk Suraya Yaacob berikrar akan berjuang berhabis-habisan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang sebelum ini digambarkan sebagai "ibu kepada pilihan raya" yang pernah diadakan.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Tiang itu berkata, PRU ke-14 ini merupakan penanda aras kepada seluruh perjuangan UMNO selama parti itu tertubuh dan menyeru kepada semua jentera parti untuk berjuang bermati-matian.

"Kita akan pastikan jentera JR Wanita UMNO kita ini bukan saja boleh dilihat, tapi juga boleh bertanding bersama.

"Perang! Mesti perang kali ini!," laung Suraya yang menerima sorakan gemuruh penuh semangat daripada pemimpin akar umbi UMNO Bahagian Pendang di sini, petang semalam.

Suraya atau lebih mesra disapa sebagai "Kak Su" oleh penduduk kampung di Sungai Tiang turut berikrar akan membawa hampir 1,000 jentera Jalinan Rakyat  (JR) ke seluruh pelusuk Parlimen Pendang, sama ada di Dun Sungai Tiang mahupun di Dun Tokai.

Meskipun memiliki jentera yang tersusun dan mantap, namun keringat setiap ahli dan penyokong UMNO juga ditagih untuk berjuang bersama demi memastikan BN terus kekal sebagai parti pilihan yang diyakini majoriti rakyat di negara ini.

"Kita mahu ketua-ketua cawangan, ketua-ketua wanita cawangan, ketua-ketua pemuda cawangan dan ketua-ketua puteri cawangan mengembeling tenaga membawa seluruh ahli cawangan untuk berjuang bersama. Cara ini saja kita dapat buktikan kekuatan kita.

"Jika kita kira bilangan bendera, kita belum dapat pastikan kekuatan sebenar sesebuah parti. Jika kita kira apa yang ditulis di Facebook, kita juga belum dapat mengkaji sejauh mana kekuatan sesebuah parti," tegas beliau lagi.

Jelas beliau, PRU ke-14 ini memberi gambaran sebenar keyakinan rakyat di negara ini terhadap UMNO dan BN, sekali gus menagih seluruh parti keramat bangsa itu untuk bangkit mempertahankan parti demi kelangsungan perjuangan agama, bangsa dan negara yang didokong selama ini.

Suraya berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di majlis Pengenalan Calon P011 Parlimen Pendang, N18 Dun Tokai dan N19 Dun Sungai Tiang yang turut dihadiri oleh Ketua UMNO Bahagian Pendang, Dato' Md Rozai Shafian, dan semua calon BN yang bertanding.


Selain itu, turut hadir adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pendang, Dato' Shamsudin Tahir dan seluruh pemimpin akar umbi UMNO Bahagian yang berhimpun dalam satu suasana yang cukup bersemangat membawa misi 3-0 di kawasan tersebut pada PRU kali ini.

BN mengekalkan Dato' Othman Abdul sebagai calon di Parlimen Pendang, Suraya di Dun Sungai Tiang, manakala calon muka baru, Ahmad Fatahi Omar pula dilihat berpotensi sebagai calon BN pertama yang bakal memecah tradisi menguasai Dun Tokai yang 38 tahun dikuasai pembangkang.

Kak Su yang turut dikenali sebagai "iron lady Kedah" sebelum ini menjadi pilihan majoriti warga Dun Sungai Tiang selama tiga penggal berturut-turut sejak dicalonkan untuk bertanding di kawasan itu.


Selain itu, beliau juga cukup dikenali oleh penduduk Sungai Tiang sebagai seorang pemimpin yang paling kerap turun padang mengambil peduli tentang mereka tanpa mengira musim pilihan raya atau tidak, menyebabkan personalitinya cukup dihormati kawan dan lawan.

Lulusan ijazah perundangan daripada Lincoln Inns, United Kingdom itu merupakan perintis kepimpinan Pergerakan Puteri UMNO ketika ditubuhkan selepas dilantik sebagai Ketua Puteri Negeri yang pertama di negeri Kedah.

Kak Su juga menang bergaya pada PRU ke-13 yang lalu dengan majoriti besar sebanyak  6,994 undi, menewaskan calon PAS, Fadzil Baharum, manakala calon parti KITA, Charean A/L Isen dan calon bebas, Rosli Bin Omar, pula hilang wang pertaruhan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com