Penyokong PKR Bantah Pencalonan Semula Dr Teo


MIRI – Sekumpulan 30 penyokong PKR membantah pencalonan semula penyandang kerusi Parlimen Miri, Dr Michael Teo Yu Keng, atas dakwaan beliau gagal melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan itu yang dimenanginya atas tiket parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Difahamkan, kumpulan terbabit mengadakan protes aman berhampiran Pejabat PKR Miri di Jalan Persiaran Kabor, di sini, semalam, sejurus menerima maklumat Dr Teo bakal dikekalkan sebagai calon PKR bagi mempertahankan kerusi berkenaan dalam PRU14.

Jurucakap kumpulan berkenaan memaklumkan pucuk pimpinan PKR Sarawak dan Pusat perlu mengambil serius maklum balas akar umbi dalam memilih bakal calon yang bertanding dalam pilihan raya kali ini.

“PKR perlu mencalonkan muka baharu bagi memastikan mereka yang dipilih mampu melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat, tidak kiralah di mana-mana kerusi Parlimen dimenangi, khususnya di Miri.

“Kami menolak beliau (Dr Teo) sekiranya pucuk pimpinan mahu mencalonkannya semula dalam PRU14. Kami mahukan calon lain yang mampu menyuarakan kepentingan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Dr Teo ketika dihubungi menyatakan beliau tidak tahu mengenai protes dan demonstrasi aman berkenaan kerana berada di Bandaraya Kuching bagi meraikan hari jadi bapanya.

Katanya, beliau akan mengemukakan laporan terperinci kepada kepemimpinan tertinggi parti pembangkang itu bagi mencari jalan penyelesaian sewajarnya. – BH

Sumber: BH

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com