Penyamun Putus Pergelangan Tangan Kena Libas Di Sungai Petani


SUNGAI PETANI - Seorang lelaki putus pergelangan tangan kiri akibat dilibas mangsa samun ketika cuba menyamun dua pekerja Indonesia dalam kejadian di Sungai Toh Pawang, Bedong Kedah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abd Hamid berkata, kejadian pada jam enam pagi itu berlaku apabila suspek bersama seorang rakan menceroboh masuk ke rumah mangsa yang terletak di Rumah Pekerja Ladang SMC Sungai Toh Pawang.

Menurutnya, kejadian berlaku semasa kedua-dua mangsa sedang tidur dan secara tiba-tiba terdengar bunyi bising setelah pintu rumah ditendang.

“Mangsa yang terjaga keluar dari bilik terkejut mendapati dua suspek tidak dikenali bersenjatakan parang menyerangnya.

“Akibat serangan, mangsa cedera di bahagian ibu jari tangan kiri,” katanya.

Beliau berkata, pergelutan berlaku sehingga jarak 10 meter keluar daripada rumah sementara seorang lagi rakan suspek hanya menyaksikan kejadian.

Dalam masa sama, seorang lagi penghuni rumah yang terdengar pergaduhan terus keluar dari bilik dan memukul suspek menggunakan batang besi, sementara, rakan suspek cuba melarikan diri.

“Mangsa bagaimanapun sempat merampas parang dan terus melibas tangan suspek,” katanya.

Akibatnya, tangan suspek putus di bahagian pergelangan tangan kiri dan koyak antara ibu jari dan jari telunjuk tangan kanan.

Menurut Saifi, suspek cuba untuk mendapatkan rawatan dengan laporan mengatakan ditetak oleh pekerja ladang bagaimanapun perbuatan itu terbongkar apabila siasatan dijalankan.

Dalam kejadian ini, tiada kerugian dialami mangsa namun polis masih menyiasat sama ada ia berkaitan dengan pergerakan kongsi gelap mahupun tidak.

Katanya, dua tangkapan dilakukan terhadap seorang lelaki berusia 17 tahun yang ditahan di pekarangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) manakala seorang lagi suspek berusia 22 tahun ditahan semasa mendapatkan rawatan di hospital sama.

Hasil semakan rekod lampau mendapati, suspek pernah terlibat dengan satu kes cubaan samun awal tahun ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394/326 Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com