Pentaksub Politik Jangan Biadap Terhadap TMJ, Raja-Raja Melayu - Belia Darulaman


ALOR SETAR - Cemuhan segelintir netizen terhadap Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang baru-baru ini amat dikesali dan tidak sewajarnya baginda dicemuh sedemikian rupa hanya kerana semata-mata berbeza pandangan.

Pengerusi Kelab Belia Darulaman, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, meskipun ada yang memuja pemimpin tertentu, semua pihak wajar menyedari kedudukan institusi DiRaja yang perlu dihormati di negara ini.

"Saya amat kesal dengan komen-komen di media sosial yang mencemuh pandangan ikhlas baginda.

"Pada pandangan saya, kita boleh berbeza pendapat tetapi perbezaan itu jangan sampai tahap mencemuh, menghina tambahan lagi institusi DiRaja yang kita sanjung tinggi.

"Jangan kerana memuja individu tertentu kita mengambil sikap derhaka kepada Raja," katanya kepada Kedahnews.com di sini, hari ini.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, TMJ sebelum ini hanya bertitah tentang pandangan peribadi baginda terhadap seorang bekas Perdana Menteri yang amat berkuasa di negara ini dan tindak-tanduknya daripada pengamalan peribadi baginda.

Katanya, TMJ ikhlas dalam titahnya dan amat memahami kekecewaan rakyat yang malu dengan tindakan bekas Perdana Menteri yang kini seolah-olah lebih berkiblatkan kuasa politik demi kepentingan peribadi dan legasi diri sendiri.

"Tunku Mahkota Johor bertitah dengan jujur dan ikhlas apabila mengajak rakyat membuat penilaian dengan hati terbuka serta menolak tindakan bekas perdana menteri yang mahu kembali berkuasa dan meruntuhkan parti yang telah mendokong beliau terdahulu.

"Titah TMJ itu patut dijulang sebagai tindakan luar biasa yang menggambarkan baginda menyelami hati naluri orang Melayu yang kecewa melihat tindak tanduk bekas perdana menteri itu, yang mahu menghancurkan kepimpinan negara sekarang demi memberi laluan mudah kepada anaknya," ujar beliau.

Tegas Syed Mohd Johan Rizal lagi, pihak istana telah bertitah sejajar dengan pandangan majoriti rakyat di negara ini dan beliau menyokong penuh titah berkenaan serta menyeru agar semua pihak dapat mengakui hakikat kebenaran yang disampaikan baginda.

"Istana telah bersuara, dan suara hati istana itu selari dengan suara hati rakyat terbanyak.

"Menyokong kenyataan TMJ itu, saya merasakan inilah saat terbaik bagi rakyat menyatakan penolakan terhadap tindakan memualkan bekas Perdana Menteri itu.

"Jadikan medan PRU14 ini untuk menolak terus parti pembangkang dan memberitahu bahawa kerajaan yang stabil adalah yang terbaik berbanding dengan pemimpin yang mempunyai dendam yang membara.

"Walaupun TMJ bercakap dalam konteks Johor, apa yang dititah baginda adalah meliputi seluruh negara dan dengan jelas terkandung amaran dalam titah baginda bahawa jangan mudah terpengaruh dengan kisah indah yang dibawakan bekas perdana menteri itu," katanya lagi.

Dalam pada itu, Syed Mohd Johan Rizal turut menyarankan agar masyarakat di negara ini tidak terpengaruh dengan sikap "petualang" bekas Perdana Menteri yang bagaikan mengkhianati perjuangan agama, bangsa dan negara yang pernah beliau laungkan dulu.

Malah tegas peguam muda itu, segelintir netizen yang terlanjur mencemuh TMJ sebelum ini perlu memohon ampun daripada baginda atas tindakan biadap yang sama sekali tidak mencerminkan penghormatan yang wajar terhadap institusi DiRaja di negara ini.

"Walaupun bekas perdana menteri berkenaan pernah ada rekod tidak baik berkaitan institusi DiRaja, jangan biarkan kita juga mengikut jejak langkah beliau melakukan perkara yang sama.

"Sehubungan itu mereka yang telah mencemuh TMJ perlu memohon ampun atas tindakan biadap mereka tidak menghormati institusi Raja Berpelembagaan dan merosakkan perpaduan kaum di negara ini di mana kaum Melayu adalah role model kepada perpaduan berkenaan.

"Apabila bangsa Melayu sendiri tidak mengjormati Raja mereka apa pula nanti pandangan kaum lain," soal beliau. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com