"Penjual Ubat" Dari Pokok Sena Dakwa Pemimpin PAS Terengganu 'Makan Duit' UMNO


Selepas digelar 'harumanis', ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar kini dilabel pula sebagai 'penjual ubat' di kaki lima kedai.

Gelaran itu diberikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas bekas Naib Presiden PAS itu mendakwa  tiga pimpinan PAS Terengganu menerima wang daripada UMNO.

Abdul Hadi berpendapat dakwaan Mahfuz itu adalah hujah bukan daripada orang politik yang benar, tetapi individu politik yang menjual ubat.

“PAS meletakkan calon di kerusi yang juga dipertandingkan oleh UMNO, sekiranya kita menerima wang daripada mereka, takkan kita hendak melawan (UMNO)," tangkis Hadi yang juga ahli Parlimen Marang.

"Kita tidak akan melayandakwaan kebudak-budakan seperti ini kerana kita juga akan jadi bodoh kalau berbuat demikian,” katanya kepada pemberita kelmarin.

Mahfuz dalam satu program ceramah di Guar Lobar, Padang Serai, mendakwa tiga pimpinan PAS Terengganu me­nerima wang daripada pemimpin UMNO tertentu.

Dakwanya, wang RM1 juta telah dimasukkan melalui akaun khas yang dinamakan Akaun Amanah pada 21 Mac lalu dan RM1.5 juta pula dimasukkan ke dalam akaun Jabatan Pembangunan PAS Pusat (JPP) atau Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu tidak perlu membuat penafian berhubung dakwaan itu sebaliknya mencabar Mahfuz yang kini melompat kepada  Parti Amanah Negara (PAN) supaya membuat aduan kepada Suruhanjya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Mahfuz kini sedang menjaja keburukan pemimpin PAS kerana beliau kini dikatakan berhasrat untuk bertanding semula di Pokok Sena bagi menentang calon PAS yang mahu mempertahankan  semula kerusi yang dimenangi tiga kali oleh PAS.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com