Penjawat Awam Diingatkan Buat Pilihan Tepat - TPM


BAGAN DATUK - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan penjawat awam membuat pilihan tepat pada hari pengundian dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi memastikan kesinambungan pembangunan dapat diteruskan.

Timbalan Perdana Menteri berkata walaupun undi rahsia tetapi adalah perlu buat pegawai dan kakitangan kerajaan bijak memilih kerajaan yang prihatin dan membela nasib rakyat keseluruhannya.

"Saya ingin sebutkan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri sebelum saya menyatakan bahawa pegawai kerajaan boleh mengundi sesiapa saja kerana undi itu rahsia.

"Ya benar.. saya memperakui undi itu rahsia. Tetapi untuk mengundi sesiapa saja saya fikir itu langkah yang silap kerana kerajaan yang ada hari ini sama ada peringkat Daerah Bagan Datuk, Negeri Perak serta Malaysia adalah kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan pegawai dan kakitangan awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis santai bersama rakan sekerja perkhidmatan awam Bagan Datuk 2018 di Dewan Dato Lope Hashim di sini semalam.

Turut hadir, dua calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup dan Hutan Melintang iaitu Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Datuk Khairuddin Tarmizi.

Lebih 1,000 penjawat awam seluruh daerah Bagan Datuk hadir pada majlis berkenaan yang pertama kali diadakan selepas Bagan Datuk diiktiraf sebagai daerah ke-12 di Perak, Januari tahun lalu.

Ahmad Zahid yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Bagan Datuk berkata, kerajaan sedia ada adalah yang kerajaan terbaik yang mampu membela nasib serta menjaga kebajikan lebih 1.6 juta pegawai dan kakitangan kerajaan di seluruh negara.

Katanya, kerajaan tidak pernah terfikir untuk mengurangkan jumlah pegawai dan kakitangan kerajaan yang sedang berkhidmat dan bukan seperti tindakan pembangkang jika mereka dapat membentuk kerajaan.

"Ada kumpulan (pembangkang) sarankan bahawa jika mereka menang mereka akan kecilkan saiz kakitangan awam tidak lebih 300,000 orang sedangkan sekarang kakitangan awam melebihi 1.6 juta orang.

"Jika saiz dikurangkan di mana ada di kalangan kita (penjawat awam) terpaksa dibersarakan ertinya mereka menafikan khidmat terbaik pegawai dan kakitangan awam," katanya.

Ahmad Zahid turut menarik perhatian dengan berjanji jika BN memenangi dua pertiga kerusi Parlimen serta DUN Perak, kerajaan negeri dan Persekutuan akan memberi keutamaan serta menjaga kebajikan pegawai dan kakitangan awam.

Katanya, tidak ada mana pihak mampu menafikan kerajaan terbaik adalah kerajaan sedia ada, maka penjawat awam diminta menterjemahkannya dengan mengundi kerajaan sedia ada pada 9 Mei ini.

"Kalau mahu lihat kesinambungan pembangunan di Bagan Datuk serta seluruh negara, kita tiada pilihan untuk memilih kerajaan BN," katanya. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com