Pengundian Pos Telus - SPR


SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan pengundian pos untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telus dan cekap.

Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Perjalanan Pilihan Raya, Mohd Sarif Hassan, berkata prosesnya dilaksanakan dengan telus dan tiada ruang untuk penipuan atau penyalahgunaan dalam mengendalikannya.

"Pegawai Pengurus kawasan terbabit bertanggungjawab mengendali pengeluaran kertas undi pos dan ia dilakukan dengan kehadiran wakil calon bertanding.

"Pengundi pos yang layak akan menerima sampul surat coklat mengandungi dua sampul surat kecil (merah jambu untuk kerusi Dewan Undangan Negeri dan putih untuk kerusi Parlimen, kecuali pengundi di Wilayah Persekutuan yang hanya akan mengundi di kerusi Parlimen) bersama kertas undi.

"Pengundi perlu menandakan calon pilihan dan mengisi borang pengisytiharan identiti (Borang 2), selain mendapatkan tandatangan seorang saksi (rakan atau ahli keluarga yang berusia 21 tahun ke atas) untuk membuktikan mereka adalah pengundi yang layak.

"Mereka perlu memastikan kertas undi dan borang pengisytiharan identiti mengandungi nombor siri yang sama," katanya dalam temu bual dengan stesen radio Selangor FM, kelmarin.

Golongan yang layak mengundi secara pos adalah rakyat Malaysia bekerja di luar negara (permohonan ditutup 7 April) dan anggota polis, pasukan tentera, pekerja pilihan raya , petugas media dan kakitangan sembilan agensi dan jabatan kerajaan yang tidak boleh keluar mengundi pada pengundian awal 5 Mei ini.

Sembilan agensi dan jabatan kerajaan itu ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Penjara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan (yang bekerja di hospital dan klinik kerajaan), Polis Bantuan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dan Jabatan Pendaftaran Negara (kakitangan di Pusat Transformasi Bandar).

Mohd Sarif berkata, sampul surat undi pos yang digam dan berisi kertas undi perlu tiba di pejabat Pegawai Pengurus masing-masing sebelum jam 5 petang pada 9 Mei ini.

"Hantarkan semua sampul surat undi pos ini secepat mungkin kerana mana-mana kertas undi yang tiba selepas jam 5 petang pada 9 Mei ini tidak akan dikira.

"Pengundi boleh memilih untuk menghantarnya menggunakan Pos Malaysia (secara percuma) atau menghantar sampul surat itu dengan tangan ke pejabat Pegawai Pengurus. Pengundi luar negara, bagaimanapun, perlu menanggung sendiri kos penghantaran.

"Sebaik diterima, sampul surat itu akan disimpan dengan selamat dengan kawalan yang ketat, contohnya di balai polis sehingga hari mengundi. Ia akan dibuka di hadapan wakil calon sebelum ia dimasukkan ke dalam kotak undi," katanya.

Katanya, pengundi pos tidak dibenarkan mengundi pada hari mengundi sekiranya berubah fikiran atau tidak menghantar undi pos pada masanya.

Mohd Sarif turut menafikan dakwaan ada empat juta pengundi pos berdaftar dan lazimnya jumlah pengundi pos tidak melebihi 500,000.

"Ada kira-kira 12,000 pengundi luar negara dan 299,000 pengundi pos di Malaysia," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com