Pengundi Lubuk Merbau Tiada Alasan 'Kalih' BN


PADANG TERAP  - Felda Lubuk Merbau yang berkeluasan 184 hektar merupakan kawasan kedua terbesar yang dibangunkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di negara ini selepas Johor.

Terletak kira-kira 55 kilometer daripada pusat bandar Alor Setar, Felda Lubuk Merbau dinamakan sempena Sungai Muda dan dua batang pokok merbau yang tumbang melintangi sungai di tepi lubuk di kawasan berkenaan.

Felda Lubuk Merbau yang mula dibangunkan pada 1968 itu kini mempunyai 769 peneroka yang terdiri daripada peringkat satu hingga sembilan itu dengan anggaran penduduk mencecah 3,500 orang.

Kawasan yang dahulunya hutan tebal menjadi tempat persembunyian komunis kini telah berubah wajah apabila dilengkapi pelbagai kemudahan seperti sekolah kebangsaan, sekolah menengah kebangsaan, dewan orang ramai, masjid, klinik kesihatan, pejabat pos, kios bank, Pusat Internet 1Malaysia dan kompleks sukan.

Komitmen penuh Barisan Nasional (BN) dalam membantu membangunkan kawasan Felda Lubuk Merbau hingga dilengkapi bermacam-macam kemudahan infrastruktur, berlaku hebat terutama apabila Datuk Seri Mahdzir Khalid dipilih sebagai Ahli Parlimen Padang Terap pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Usaha kerajaan BN khususnya Mahdzir untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi peneroka Felda Lubuk Merbau sejak 50 tahun lalu merupakan ‘hadiah’ yang dinanti-nantikan penduduk setempat.

Loji Felda Lubuk Merbau bernilai RM15 juta yang siap pada September tahun lalu dengan kapasiti empat juta gelen sehari itu mampu membekalkan air kepada kira-kira 7,000 pengguna.

Malah, bukan sahaja penduduk Felda Lubuk Merbau mendapat manfaat sebaliknya projek pembinaan loji berkenaan juga berjaya membantu menyelesaikan masalah bekalan air di lima kampung berhampiran seperti Kampung Baru Nami dan Danglau.

Tawaran 50 lot rumah baru-baru ini menerusi program Perumahan Generasi Baharu Felda untuk generasi kedua di kawasan ini juga menunjukkan kesungguhan kerajaan BN untuk membantu anak peneroka.

Setiap generasi baharu yang terpilih akan mendapat tanah lot individu berkeluasan 4,000 kaki persegi manakala rumah akan dibangunkan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang bekerjasama dengan Felda.

Pemilik hanya perlu membayar RM55,000 kepada SPNB ke­rana kerajaan BN memberi komitmen untuk memberikan subsidi RM20,000 setiap rumah yang dibina program Perumahan Gene­rasi Baharu Felda.

Pembinaan Sekolah Menengah Agama Al–Islahiah Al-Islamiah yang merupakan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) merupakan ke­sungguhan kerajaan BN untuk mengukuhkan pendidikan agama dalam kalangan penduduk setempat.

Selain itu, pembinaan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Lubuk Merbau bernilai RM2.9 juta juga antara inisiatif kerajaan BN untuk kegunaan warga sekolah berkenaan serta komuniti setempat.

Walaupun tidak dinafikan masih terdapat ruang untuk pembangunan mahupun usaha menyediakan kemudahan yang masih boleh dilaksanakan namun sudah pasti penduduk Felda Lubuk Merbau tidak boleh menafikan inisiatif-inisiatif kerajaan BN selama ini kepada mereka.

Prestasi cemerlang Mahdzir tidak boleh dinafi maka tiada sebab untuk rakyat kalih dengan memilih parti ‘bulan’ atau gabungan baharu berlogokan mata hingga mengetepikan kemajuan yang dibawa kerajaan BN selama ini di Felda Lubuk Merbau.

Sumber: Utusan

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com