Pengumuman Calon BN Kedah Esok Janjikan Kejutan?


ALOR SETAR -  Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah dijangka bakal mengumumkan semua calonnya yang akan bertanding Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada esok.

Menurut sumber, Pengerusinya, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah telah pun memiliki senarai lengkap nama calon bagi 15 kerusi Parlimen dan 36 Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dipertandingkan di negeri ini.

"Kita memang dah ada senarai calon yang dah diputuskan secara muafakat bersama. Kita memang dah bersedia lebih awal, cuma Pengerusi belum nak umum lagi," kata sumber itu kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Sumber tersebut turut menjelaskan bahawa perbincangan telah lama diadakan sebelum ini dan adalah normal sekiranya terdapat beberapa pertikaian berbangkit mengenai pemilihan calon bagi semua parti bertanding.

Namun katanya, semua pertikaian tersebut telah pun diselesaikan dengan baik, sekali gus memantapkan persiapan jentera di pelbagai peringkat sama ada negeri, bahagian, cawangan mahupun pusat daerah mengundi (PDM) di setiap kawasan.

"Jangan mudah percaya khabar angin. Saya sendiri terima banyak senarai di Whatsapp. Karut saja senarai tu. Memang ada nama yang tersenarai, tapi banyak yang tak tepat dan tak logik. Senarai tu sengaja nak kenakan orang.

"Biasalah, jika ada pertikaian sikit-sikit setiap kali nak pilih calon. Ada parti yang lebih teruk bergaduh di Kedah ni. Itu biasa. Tapi alhamdulillah, kita muafakat selesaikan bersama," katanya.


Ditanya mengenai senarai calon BN yang bakal diumumkan itu, sumber itu menjelaskan bahawa calon-calon yang terpilih kali ini merupakan pasukan yang dilihat paling mantap untuk meneruskan prestasi cemerlang BN memberi khidmat terbaik buat rakyat Kedah.

Bukan saja bersikap mesra dan cukup dikenali di kawasan masing-masing, malah calon-calon itu juga difahamkan telah lama turun padang berusaha membantu masyarakat setempat, tidak seperti pihak tertentu yang hanya menunggu untuk berkhidmat di musim pilihan raya.

"Jangan terkejut ketika Pengerusi kita umumkan nama calon nanti. Unsur-unsur kejutan tu pasti ada setiap kali nama calon PRU diumumkan, bukan?

"Tapi apa yang pasti, calon-calon yang terpilih ini memang bagus. Nak tahu siapa, tunggu esok," ujar sumber berkenaan lagi. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com