Penghinaan Mahathir Ke Atas Rakyat Sabah, Sarawak Beri Kesan Buruk Pada Pembangkang


Rakyat Sabah dan Sarawak akan menghukum parti pembangkang yang bersekutu dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan DAP pada pilihan raya umum ini ekoran kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan itu yang menyentuh perasaan mereka.

Bekas Perdana Menteri berusia 93 tahun itu m endakwa rakyat Sabah dan Sarawak bermentaliti rendah dan pemalas dengan memilih jalan mudah untuk berjaya.

Tuduhan Dr. Mahathir itu dianggap satu penghinaan ke atas rakyat pribumi kedua negeri itu.

Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa sikap itu menjadi punca Sabah dan Sarawak ketinggalan berbanding negeri di Semenanjung ketika beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. 

Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau, berkata tuduhan itu adalah satu penghinaan ke atas rakyat Sabah.

Beliau berkata, mereka sudah serik dengan tindakan bekas Perdana Menteri itu meminggirkan Sabah daripada pembangunan hingga menyebabkan negeri ini ketinggalan dalam pelbagai aspek.

"Saya nak beritahu dia (Mahathir), anda salah. Rakyat Sabah dan Sarawak pandai berikhtiar. Rakyat Sabah bekerja keras seperti orang lain dan menjadi budaya kami untuk melakukan yang terbaik untuk diri dan keluarga," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Madius yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata Dr Mahathir tidak boleh mempersoalkan tingkah laku, mentaliti dan integriti rakyat Sabah, terutama jika mengambil kira tindakannya merampas sumber negeri itu untuk membina projek di Semenanjung.

Katanya, bekas Perdana Menteri itu menggunakan dana yang banyak untuk melaksanakan projek mega seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Putrajaya dan litar lumba F1 di Sepang, namun menafikan dana pembangunan untuk rakyat Sabah.

" Sabah dan Sarawak berterusan berikhtiar untuk pembangunan bagi membuktikan rakyat kedua-dua negeri bukan saja bekerja keras, malah tidak mempunyai mentaliti rendah.

"Tindakan Mahathir mengabaikan Sabah dan Sarawak sepanjang 22 tahun beliau berkuasa tidak boleh dinafikan sesiapa, terutama ketika dia menggunakan alasan menghina dalam usahanya melampiaskan dendam terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Madius berkata, tiada sesiapa di Sabah atau Sarawak perlu meletakkan kepercayaan terhadap Dr Mahathir dan mereka yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri itu.

Sementara ramai melihat penghinaaan Dr. Mahathir  ke atas rakyat Sabah dan Sarawak itu  akan  memberikan kesan buruk kepada parti pembangkang yang bertanding di negeri itu pada PRU14. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com