Pengetua Disaran Tingkat Ilmu Pengurusan Pendidikan


ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan menyarankan semua pengetua di negara ini meningkatkan diri dengan pelbagai ilmu pengurusan pendidikan terkini sejajar pendidikan abad ke-21 dan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebagai ketua dalam sekolah, mereka juga perlu memahami dengan jelas isu dan persoalan yang timbul khususnya menerusi media sosial dan memberi maklum balas segera sejajar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kementerian.

Jelas beliau, pengetua perlu sentiasa bersedia mendepani pelbagai cabaran dalam dunia pendidikan dan gelombang transformasi supaya dapat bersaing bukan saja di peringkat nasional, malah di peringkat antarabangsa.

Selain itu, pengetua perlu memiliki kualiti, keperibadian terbaik, mampu mempamerkan gaya kepemimpinan, kredibiliti serta daya saing dengan kemahiran pentadbiran serta pengurusan, sekali gus memastikan kemenjadian murid di tahap terbaik.

"Kementerian sedar dan prihatin berhubung tugas dan tanggungjawab pengetua sekolah pada masa kini amat mencabar terutama sebagai pengurus pendidikan abad ke-21 dan TN50.

"Untuk pengantarabangsaan sekolah, kita berhasrat menghantar pengetua untuk mengikuti kursus di luar negara seperti Australia, Jepun dan Korea Selatan, tahun ini," katanya memetik BH Online.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Ke-57, anjuran Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), di sini, semalam.

Turut hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dan Yang Dipertua MPSM, Jamaludin Yaacob.

Persidangan selama empat hari bermula semalam itu adalah platform berkesan membolehkan pentadbir sekolah menyalurkan maklumat dan ilmu terkini, serta usaha memantapkan kemahiran pemikiran pemimpin.

Ia sejajar Program Pembangunan Pendidikan Profesional Berterusan, yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan TN50.

Pada masa sama, Mahdzir berkata, menerusi Bajet 2018, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM250 juta untuk pendidikan generasi TN50, termasuk menubuhkan Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Tambahnya lagi, kerajaan akan mempertingkatkan modul Sains Komputer, termasuk program Coding @ School dan menaik taraf 2,000 kelas menjadi Bilik Darjah Pintar Pembelajaran Abad Ke-21.

"Dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bidang pendidikan turut diberi perhatian oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak. Ini membuktikan bidang pendidikan adalah keutamaan kerajaan," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com