Pengerusi PAN, Pesuruhjaya PAS Kedah "Berebut" Dun Pengkalan Kundor


ALOR SETAR - Bagai "bertemu buku dengan ruas", pencalonan Pengerusi Parti Amanah Negara, Dr Ismail Salleh yang diumum bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kundor akan dicabar oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Dr. Ahmad Fakruddin Syeikh Fakhrurazi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini.

Pencalonan Dr Ismail Salleh sebelum ini telah diumumkan oleh Presiden PAN, Mohamad Sabu, manakala pencalonan Dr Ahmad Fakhruddin pula diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ceramah di Kuala Kedah, kelmarin.

Dun Pengkalan Kundor merupakan kubu kuat PAS sebelum ini dimenangi oleh bekas pemimpinnya, Dato' Phahrolrazi Zawawi, yang kemudian bertindak keluar parti dan "melarikan" kerusi berkenaan daripada bekas partinya.

Phahrolrazi diumumkan tidak akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya atas tiket PAS itu, sebaliknya berpindah untuk bertanding di Dun Alor Mengkudu, kerusi yang pernah dimenangi Dr Ismail pada PRU ke-12 sebelum dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri.

Kerusi Dun Alor Mengkudu kini diwakili oleh Adun PAS, Ustaz Ahmad Yahaya.

Pertembungan di antara Dr Ismail dan Dr Ahmad Fakhruddin dilihat sebagai pertembungan epik di Kedah pada PRU kali ini ekoran ia dilihat seolah-olah meletakkan pertandingan dua ketua parti negeri yang maruah dan perjuangan politik masing-masing.

Dr Ismail sebelum ini dikatakan antara sekutu kuat Phahrolrazi ketika cuba menjatuhkan bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak, ketika di ambang PRU ke-13 yang lalu sehingga menyebabkan PAS Kedah menghadapi krisis dalaman yang kritikal.

Kemelut dalaman PAS yang berlaku ketika itu dan faktor penyatuan UMNO yang diterajui Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah ketika itu, Dato' Seri Ahmad Bashah telah menyebabkan PAS tewas pada PRU yang berlangsung pada 2013 itu.

Walaupun Ahmad Bashah yang merupakan "arkitek" sebenar kemenangan BN di Kedah ekoran usaha beliau selama 5 tahun, namun Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir yang dilantik sebagai Menteri Besar Kedah meskipun beliau hanya kembali ke Kedah untuk berkempen bersama jentera BN kira-kira empat bulan sebelum PRU berlangsung.

Namun begitu, juak-juak penyokong Mukhriz ada yang tidak tahu malu mendakwa kononnya beliau merupakan penyebab BN menang di Kedah ketika itu, sekaligus menafikan peranan besar Ahmad Bashah yang sebenarnya menjadi tulang belakang BN.

Ketidakpuasan hati pemimpin BN terhadap Mukhriz dikatakan sudah bermula sejak tahun kedua beliau memerintah Kedah, namun Ahmad Bashah dan pemimpin-pemimpin UMNO utama di Kedah ketika itu tetap bersabar serta mempertahankan Mukhriz.

Namun ekoran daripada kelemahan dan kegagalan Mukhriz untuk merubah corak pentadbirannya yang dilihat gagal memberi manfaat kebajikan kepada rakyat dan tidak mendahulukan parti yang melantiknya, beliau kemudian terpaksa disingkirkan daripada kerusi Menteri Besar menerusi undi tidak percaya.

Biarpun disiasat dan diputuskan oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah ketika itu, Mukhriz tetap tidak berpuas hati dan enggan mengaku kelemahannya, sebaliknya memilih untuk memberontak serta mendakwa konon dirinya disingkirkan kerana menentang kepimpinan parti.

Mukhriz akhirnya dipecat daripada UMNO selepas didapati bersalah melanggar disiplin parti, sebagai mana tindakan biasa yang diambil oleh PAS terhadap pemimpinnya yang terbukti melanggar disiplin parti.

Mukhriz kini mengepalai Pakatan Harapan Kedah dalam usaha mendapatkan kembali kuasanya di negeri ini pada PRU ke-14 nanti.  -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com