Penduduk Zahirkan Kegembiraan, Hospital Pendang Bakal Dibina Bermula 7 Mei


ALOR SETAR - Rata-rata penduduk di daerah Pendang menzahirkan rasa gembira apabila penantian melihat hospital Pendang dibina akhirnya terlaksana kerana kerja pembinaan akan bermula 7 Mei ini.

Hospital Pendang dijangka siap pada November 2021 itu menelan belanja RM210 juta bakal dibina berdekatan Kampung Manggol Pauh di sini.

Biarpun penantian hampir dua dekat, namun penduduk daerah berkenaan berpuas hati apabila kerajaan memutuskan Hospital Pendang bakal dibina jauh lebih besar dan canggih berbanding perancangan asal.

Mereka menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang Hospital Pendang bakal mempunyai 210 katil bertaraf hospital pakar minor itu adalah jauh lebih baik berbanding cadangan asal iaitu sebuah hospital dengan 36 katil sahaja sebelum ini.

Bagi seorang penduduk pekan Pendang, Som Ramli, 57, pengumuman mengenai Hospital Pendang terbabit adalah perkara paling dinanti-nantikan warga daerah luar bandar itu sejak sekian lama.

Jelas Som, setelah lebih 20 tahun menanti pembinaan hospital tersebut, kini dia yakin impian warga Pendang untuk mempunyai hospital di daerah itu bakal menjadi realiti.

"Sudah lama kami menanti dan syukurlah penantian dan kesabaran kami tidak sia-sia dan diberikan sebuah hospital yang lebih besar dan moden berbanding cadangan asal.

"Sekarang ini, penduduk Pendang perlu ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk mendapatkan rawatan, tapi selepas ini kami boleh jimat masa dalam 30 minit apabila siapnya Hospital Pendang nanti," katanya memetik BH Online.

Bagi penduduk dari Kampung Kubang Jelai Tokai, Chim Kheam, 59, pula berkata dia berasa gembira dengan pengumuman PM mengenai Hospital Pendang yang bakal direalisasikan tidak lama lagi.

Katanya, rakyat daerah Pendang sememangnya sudah lama menanti sebuah hospital untuk memudahkan urusan mereka mendapatkan rawatan kesihatan.

"Sekarang ini jika sakit kami hanya boleh pergi ke Klinik Kesihatan atau Klinik swasta yang berhampiran untuk dapatkan rawatan, tapi jika ada sakit yang lebih serius atau perlukan rawatan pakar, kami perlu ke HSB Alor Setar," ujarnya.

Sementara itu, Ng Sim, 61, dari Kampung Cina, Sungai Tiang, berkata dia yang pernah menghidap penyakit tiroid kini perlu ke HSB tiga bulan sekali untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Apabila siapnya Hospital Pendang ini nanti, saya tidak perlu lagi berulang alik jauh ke Alor Setar untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit saya ini," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya ketika melancarkan projek Hospital Pendang semalam, Najib  dalam ucapannya berkata, kesabaran warga Pendang dalam menanti projek pembinaan Hospital Pendang terbabit kini terbayar apabila kerajaan bukan sahaja akan menunaikan janji membina hospital malah hospital yang bakal dibina ini jauh lebih baik daripada perancangan awal kerana ia merupakan hospital pakar minor yang membabitkan 10 perkhidmatan kepakaran antaranya pembedahan,ortopedik, obstetrik dan ginekologi, pediatrik serta anestesiologi. - Kedahnews.com


#UndiBN
#PRU14
#KekalBN
#BersamaBN
#HebatkanNegaraku
#DahulukanRakyat

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com