Penduduk Hasilkan Replika Tren ECRL


TUMPAT - Penduduk Kampung Morak di sini sanggup bersengkang mata untuk menyiapkan replika tren Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai tanda penghargaan terhadap Kerajaan Persekutuan yang menyediakan kemudahan itu di Kelantan.

Replika berukuran 15 meter panjang dan tiga meter tinggi itu dibina oleh lapan penduduk sejak 10 hari lalu.

Lebih unik replika yang membabitkan kos RM800 itu menggunakan bahan asas buluh, papan lapis, kain, plastik dan dawai, direka oleh penduduk kampung itu, Ramidin Ismail, 45.

Ramidin berkata, dia mengambil masa beberapa hari untuk untuk membuat lakaran selepas penduduk menyatakan hasrat untuk menghasilkan replika itu.

"Selepas itu, kerja membina replika dilakukan pada waktu malam kerana pada siang hari kami bekerja dan bagi yang ada masa lapang (siang), mereka mencari buluh.

"Replika ini hampir siap dan kerja akhir seperti mengecat akan dibuat dengan segera kerana ramai yang tidak sabar untuk melihat hasilnya," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Wan Hanafi Wan Yaacob, berkata pembinaan replika itu sebagai mesej kepada pemimpin tertinggi Barisan Nasional bahawa penduduk sangat berharap projek itu dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

"Selain bakal meningkatkan taraf ekonomi rakyat, projek itu juga memudahkan mereka yang mencari rezeki di luar Kelantan untuk pulang terutama ketika musim perayaan," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com