Penduduk Gempar Air 'Berdarah'


PELABUHAN KLANG - Penduduk di Teluk Gong di sini meluahkan rasa bimbang apabila air dalam parit dan longkang di kawasan mereka bertukar menjadi merah seakan-akan 'darah' sejak pagi semalam.

Mereka mendakwa warna merah itu berpunca daripada sisa yang datang dari sebuah kilang kitar semula yang terletak berdekatan kawasan itu.

Lebih membimbangkan penduduk, air longkang itu dilepaskan ke laut berdekatan yang menjadi punca rezeki rata-rata penduduk di situ yang bekerja sebagai nelayan.

Nelayan, Faizal Adnan, 43, berkata, beliau sangat terkejut apabila mendapati air di dalam parit dan longkang berdekatan rumahnya sudah bertukar menjadi warna merah seperti dicemari darah pagi semalam.

"Terus saya pergi siasat dari mana punca air itu bertukar menjadi merah dan mendapati ia bermula dari kilang kitar semula ini.

"Kami bimbang berikutan air longkang dan parit di sini mengalir hingga ke laut kerana penduduk di sini kebanyakannya nelayan. Disebabkan itu, kami kini takut untuk turun ke laut.

"Kami mencari rezeki dengan sumber pendapatan itu. Kami menjual hasil laut kepada pembeli, sudah tentu kita bimbang akan kualiti hidupan laut yang kami jual," katanya.

Bagi penduduk, Husni Abu Bakar, 41, beliau kini sangat bimbang kesan air tercemar itu terhadap hidupan laut yang ditangkap di kawasan berkenaan yang juga boleh menjejaskan kualiti hidup penduduk.

"Kita tidak tahu akan apa yang ada dalam air itu. Adakah ia tercemar atau tidak, malah ada penduduk di sini menangkap ikan puyu dan haruan dalam parit berkenaan.

"Ini seterusnya boleh mendatangkan bahaya kepada kami penduduk di sini. Kita harap perkara ini diselesaikan dengan segera," katanya.

Tinjauan BH petang tadi di kawasan Teluk Gong mendapati warna air di longkang dan parit sudah kembali jernih walaupun sisa-sisa warna merah masih jelas kelihatan di sebahagian laluan air di kawasan berkenaan.

Perkara itu turut mendapat perhatian, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Klang, Datuk Sheikh Rajesh Sheikh Ahmad, yang turun ke lokasi kejadian untuk meninjau keadaan selepas menerima aduan.

Sheikh Rajesh berkata, beliau sudah menghubungi pengusaha kilang dan akan mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut berkenaan isu itu.

"Kita bimbang air terbabit mungkin sudah tercemar sehingga mengakibatkan kesihatan penduduk di sini terjejas. Ini adalah soal keselamatan penduduk di sini.

"Malah, air itu juga saya difahamkan sudah dilepaskan ke dalam laut yang boleh menyebabkan hidupan air serta pendapatan nelayan di sini turut terjejas," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor yang ditemui di lokasi kejadian berkata, pihaknya sedang mengenal pasti punca kejadian dan siasat lanjut sedang dijalankan.

Dalam pada itu, jurucakap kilang berkenaan, ketika dihubungi, mengesahkan pihak JAS serta Majlis Perbandaran Klang (MPK) sudah membuat pemeriksaan di kilangnya semalam.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com