Penduduk Baling Serbu Jualan Sentuhan Rakyat


ALOR SETAR - Program Jualan Murah Sentuhan Rakyat (PJMSR) di Parit Panjang, Baling di sini menjadi tumpuan ramai bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga yang murah semalam.

Penduduk di sekitar kawasan itu berpusu-pusu untuk mendapatkan barangan dapur pada harga yang murah termasuk beras, susu, gula dan minyak masak pada program yang bermula seawal jam 8 pagi itu.

Bagi seorang pengunjung, Anita Ismail, 35, berkata PJMSR perlu diadakan dari semasa ke semasa bagi meringankan beban kehidupan rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.

Beliau yang teruja kerana dapat membeli barangan keperluan jauh lebih murah dari biasa percaya lebih ramai penduduk dapat merasai manfaat program terbabit jika ia diteruskan lagi pada masa akan datang.

"Program ini amat istimewa kerana dapat membantu golongan berpendapatan rendah seperti untuk membeli barangan keperluan harian mereka.

"Program ini juga bukti kerajaan prihatin kepada kebajikan rakyat dan ia mungkin tidak dapat dilaksanakan oleh pihak lain," katanya memetik BH Online.

Menurut Penyelaras kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil, Datuk Mohd Khairul Azhar Abdullah, program yang bagi membantu mengatasi masalah kenaikan harga barangan keperluan dapur itu membuktikan kerajaan menepati janji mengurangkan beban rakyat yang tertekan dengan kos sara hidup semakin tinggi.

Jelasnya, 20 gerai sementara dibuka di kawasan tapak pasar malam di Parit Panjang yang menawarkan pelbagai barangan kepada pengunjung.

Antara barangan keperluan dapur yang ditawarkan ialah daging segar pada RM26 sekilogram, ayam proses RM5.99 sekilogram, telur ayam RM7 untuk 30 biji, tepung gandum RM1.15 sekilogram dan sekampit beras 10kg pada harga RM22.

"Harga yang ditawarkan jauh lebih murah dari harga pasaran kerana kita mahu membantu rakyat yang berdepan dengan masalah kenaikan harga barang keperluan harian.

"Dalam tempoh dua jam saja banyak barang habis dijual termasuk tepung, minyak masak, beras dan telur," ujarnya.

Tambah Mohd Khairul Azhar, program anjuran UMNO Bahagian Baling itu bukan berniat untuk memancing undi tetapi ia diadakan sebagai menepati janji Bajet 2018 dan dilaksanakan mengikut kemampuan kewangan negara. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com