Penduduk Baling Akan Dapat Hospital Pakar Pada Tahun 2021


ALOR SETAR - Penduduk daerah Baling tidak perlu lagi berulang-alik ke hospital di Sungai Petani, Alor Setar atau Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan doktor pakar, pada 2021.

Hal ini kerana sebuah hospital pakar baharu akan dibangunkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majlis pecah tanah di tapak seluas 1.6 hektar telah disempurnakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, Selasa.

Kebanyakan penduduk yang ditemui NSTP, menzahirkan rasa gembira kerana yakin, dengan terbinanya hospital pakar bernilai RM108 juta itu kelak, mereka akan dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

Pada waktu ini, kes yang tidak dapat diselesaikan di Hospital Baling terpaksa dirujuk ke hospital di Sungai Petani dan Alor Setar, malah ada yang ke Pulau Pinang berikutan kekurangan tenaga perubatan pakar.

Seorang penduduk, Abd Aziz Omar, 61, dari Kampung Bawah Gunung, berkata penduduk Baling sudah lama mengharap untuk mendapat sebuah hospital pakar.

Jelasnya, ini kerana jarak bagi mendapatkan rawatan di Sungai Petani dan Alor Setar, agak jauh dan mengambil masa perjalanan yang lama.

"Saya gembira apabila kerajaan meluluskan pembinaan hospital pakar di daerah ini.

"Keputusan ini membuktikan kerajaan prihatin dengan masalah dihadapi penduduk luar bandar untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik," katanya memetik BH Online.

Bagi penjawat awam, Badrul Hisham Che Li, 46, pula berkata dengan adanya hospital itu kelak, ia dapat memberi manfaat kepada penduduk di daerah lain yang tinggal berhampiran Baling seperti Sik, Pengkalan Hulu dan Gerik.

"Ini jelas membuktikan kerajaan prihatin permasalahan penduduk dalam keperluan perkhidmatan kesihatan," ujarnya.

Difahamkan, hospital itu dijangka siap pada Mei 2021 akan memberi kemudahan kepada lebih 200,000 penduduk di daerah ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com