Pendidikan Terancam Jika Pembangkang Menang PRU-14


ALOR SETAR - Seperti sedia maklum bahawa DAP sememangnya tidak bersetuju dengan dasar pendidikan di Malaysia ketika ini.

Hal ini kerana, DAP mahu bawa dasar baharu yang mana bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam pendidikan, dan ini sudah tentu sebahagian daripada mereka (PKR, PAN dan PPBM) tak setuju dan akan berlaku pertembungan.

Bahkan, tidak mustahil sistem sekolah kebangsaan (SK) dan vernakular juga boleh terancam sekiranya gabungan pembangkang PKR berjaya memenangi Pi­lihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mahdzir yang juga Ahli Maj­lis Tertinggi UMNO berkata, pihaknya tidak yakin gabungan pembangkang PKR khususnya DAP akan meneruskan sistem pendidikan yang dipersetujui secara bersama ketika negara mahu mencapai kemerdekaan. 

“Persoalannya juga, adakah DAP bersetuju dengan konsep pendidikan sekarang mengenai sekolah kebangsaan serta sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil kerana mengikut sejarah, Lee Kuan Yew ketika menjadi Perdana Menteri Singapura, dia hapuskan sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan dan mewujudkan satu aliran bahasa Inggeris yang kekal ke hari ini,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, beliau mengulas gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu rakyat terus memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 dalam memastikan agenda negara dapat diteruskan.

Jelas Mahdzir, perbezaan ideologi yang membawa kepada percanggahan dasar dalam kala­ngan gabungan pembangkang PKR dibimbangi akan menjejaskan agenda pendidikan negara yang dirancang kerajaan BN selama ini.

Katanya, pelbagai transformasi yang telah dilaksanakan Perdana Menteri termasuk dalam soal pendidikan seperti Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025 yang akan dijajarkan dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Apabila Perdana Menteri meletakkan satu lagi jajaran yang dipanggil TN50, menunjukkan kerajaan mahu memastikan apa yang dirancang dapat ditingkatkan de­ngan kesesuaian zaman dan semasa termasuk revolusi digital.

“Jika melihat pembangkang, saya tidak nampak mereka bersedia dengan platform sedemikian ke­rana isu kempen-kempen mereka tidak membabitkan perkara jangka panjang. Ini berikutan gabungan pembangkang suka mengumumkan perkara yang populis bagi me­raih soko­ngan rakyat,” ujarnya memetik Utusan Online. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com