Pencapaian Pendidikan Anak Orang Asli Mantap


BERA – Seramai 850 pelajar Orang Asli di seluruh negara sedang mengikuti pengajian di peringkat tinggi, sekali gus membuktikan pendidikan masyarakat tersebut tidak pernah dipinggirkan kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata jumlah tersebut termasuk 27 orang sedang menuntut di peringkat sarjana, lima orang telah mempunyai ijazah doktor falsafah manakala empat masih menuntut peringkat doktor falsafah.

“Ada 85 pelajar Orang Asli kini sedang belajar di luar negara sejak tahun 2015 melalui program penghantaran pelajar Orang Asli ke universiti di luar negara.

“Jadi saya harap tidak ada lagi persepsi masyarakat yang mendakwa Orang Asli ketinggalan kerana perancangan dan dasar yang dibuat kerajaan memberi perhatian sepenuhnya terhadap pendidikan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pemerkasaan Ibu Bapa Bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (Jakoa) di Sekolah Kebangsaan Bukit Gemuruh, di sini, pada Isnin.

Ismail Sabri berkata dalam masa yang sama seramai 127 pelajar Orang Asli berada di sekolah berasrama seluruh negara pada tahun ini.

Jumlah tersebut meliputi 33 pelajar di sekolah berasrama penuh, 90 pelajar di Maktab Rendah Sains MARA dan empat pelajar berada di Maktab Tentera Diraja, katanya.

Dalam pada itu, katanya kadar keciciran masyarakat Orang Asli di sekolah juga berkurangan kepada 16.75 peratus pada tahun 2017 berbanding 20 peratus pada tahun sebelumnya.

Bagi kawasan Parlimen Bera pula, Ismail Sabri yang merupakan penyandang kerusi itu berkata hanya terdapat dua peratus sahaja anak Orang Asli yang tercicir daripada memasuki sekolah menengah.

Dalam pada itu, berliau berkata kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM20 juta bermula tahun 2016 hingga 2018 bagi tujuan pembangunan infrastruktur di perkampungan Orang Asli di Bera.

“Bila kita beri banyak peruntukan kepada infrastruktur, ini sekali gus akan memantapkan lagi pencapaian pendidikan anak-anak Orang Asli. Sekiranya ada kemudahan infrastruktur yang baik seperti lampu dan jalan, ia akan memudahkan mereka untuk hantar anak-anak ke sekolah,” katanya. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com