Pemuda UMNO Kutuk Israel Halang Jenazah


KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak berkuasa Israel yang menghalang jenazah Dr Fadi M R Albatsh Fatma dikembalikan ke pangkuan keluarga di Semenanjung Gaza.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun, berkata rejim Israel sudah sekian lama bertindak ganas dan kejam terhadap rakyat Palestin, selain menduduki tanah berdaulat yang didiami umat Islam itu.

Sehubungan itu, katanya, rakyat Malaysia harus bersatu bagi memastikan keadilan dan undang-undang berhubung kes pembunuhan Fadi mendapat pembelaan sewajarnya.

"Insiden sebegini tidak sewajarnya berlaku. Sebarang kemungkinan seperti dilaporkan media, mengenai pembabitan ejen perisikan Israel, iaitu Mossad dalam hal ini perlu disiasat.

"Selain itu, kita harus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan kerajaan dalam menjalankan siasatan terperinci. Diharapkan tiada pihak yang cuba menjadikan perkara ini sebahagian daripada agenda politik murahan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Khairul Azwan berkata, rakyat Malaysia perlu sedar bahawa isu yang tercetus susulan pembunuhan terancang Fadi ketika ini mendapat perhatian dunia.

"Setiap tindakan dan maklum balas kita terhadap perkara ini akan dinilai," katanya.

Portal berita Palestin News Network, semalam melaporkan Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman, meminta pihak berkuasa Mesir supaya tidak membenarkan mayat Fadi dibawa masuk ke Semenanjung Gaza.

Lieberman dilaporkan berkata menerusi satu kenyataan kepada media tempatan, bahawa pihaknya sudah menghantar permintaan itu menggunakan kaedah konvensional dan menegaskan perkara berkenaan tidak terletak di bawah bidang kuasanya memandangkan kawasan sempadan Rafah tertakluk kepada kuasa Mesir.

Menteri Pendidikan, Naftali Bennett, yang turut berkongsi pandangan sama berkata, pihaknya tidak akan membenarkan mayat Fadi dibawa pulang ke Gaza, kecuali Hamas bersetuju memulangkan empat mayat, masing-masing dua tentera dan dua rakyat Israel.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com