Pemuda PAS Tentang Keras Cadangan Mahathir Batal Projek Keretapi Laju Ke Pantai Timur


Cadangan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membatalkan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU ke-14 mendapat tentangan keras oleh Pemuda PAS Malaysia.

Ketua Pemuda Dewan Pemudanya Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sikap Dr. Mahathir seolah-olah menunjukkan beliau berdendam pada rakyat di negeri-negeri Pantai Timur  sejak zaman beliau menjadi Perdana Menteri lagi.

"PAS berpengalaman dicengkam ekonomi dan ditarik subsidi minyak Petronas di Kelantan dan Terengganu ketika zaman pemerintahan beliau, " katanya yang dipetik daripada Harakahdaily hari ini.

Menurut Khalil pengkhianatan Dr. Mahathir kepada rakyat Pantai Timur tidak berakhir begitu sahaja kerana di waktu pemerintahan beliau sengaja menyekat pemberian ikut kepala (capitation grant) kepada kerajaan Negeri Kelantan.

 Pemberian geran ini sepatutnya dibayar kembali kepada kerajaan negeri kerana ia merupakan hasil kutipan cukai dari rakyat negeri tersebut, ujarnya lagi.

Namun, menurutnya dendam kesumat Dr Mahathir mengatasi segalanya dan beliau lebih berselera menjadikan rakyat Pantai Timur sebagai mangsa nafsu peribadi akibat kegagalan agenda politik beliau dahulu.

"Kali ini, Pengerusi Pakatan Harapan itu meluahkan hasrat untuk membatalkan pembinaan projek ECRL yang sedang giat dijalankan. 

Pembinaan yang bertujuan menghubungkan pelabuhan utama di Pantai Barat ke Pantai Timur Semenanjung ini sepatutnya dilihat dari aspek makro bukan semata atas sentimen politik, " jelas  Khalil yang percaya projek itu berimpak tinggi yang  akan merangsang pertumbuhan ekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

 Khalil yakin selain aspek kesalinghubungan antara kawasan industri, projek itu memberi peluang pekerjaan, pembangunan luar bandar, pendidikan, pengkomersialan barang dagangan, di samping menawarkan perjalanan alternatif kepada rakyat.

Dalam hal ini, menurutnya PAS kekal dengan pendirian untuk bersama membangun ekonomi rakyat khususnya di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang mewakili 51 peratus daripada Semenanjung Malaysia.

 Di samping itu, PAS juga melihat pelaburan langsung luar (FDI) baik untuk, bukan sahaja silang-ilmu dan kepakaran, tetapi juga memberi kebaikan untuk aliran ekonomi negara dan rakyat.

Walau bersetuju dengan pembangunan ECER, PAS menekankan perlunya berbelanja dengan berhemah, telus serta tiada ketirisan berlaku, katanya lagi.

Beliau juga berharap rakyat tempatan perlu diutamakan dalam sektor pekerjaan.

 Sementara itu beliau meminta kerajaan perlu memperhalusi konsesi dengan tujuan supaya tidak hanya sebelah pihak sahaja yang mendapat manfaat daripada projek atau limpahan ekonomi tersebut.

Beliau mengingatkan Mahathir agar bersikap matang dalam berpolitik dan mengutamakan kepentingan rakyat khususnya di kawasan Pantai Timur. 

"Jangan kerana kepentingan peribadi, keperluan rakyat 'dibakulsampahkan' oleh bekas Perdana Menteri itu, " kata Khalil. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini menjangka  kadar pertumbuhan ekonomi di Terengganu, Kelantan dan Pahang dijangka bertambah 1.5 peratus menerusi pelaksanaan ECRL.

Katanya berdasarkan kajian pihaknya, sebanyak 95 peratus responden menyokong pelaksanaan projek tersebut sekali gus menunjukkan ia mendapat sokongan dan dorongan daripada rakyat.

Sebanyak 3,600 anak tempatan bakal menjalani program latihan industri yang memfokuskan kepada memenuhi keperluan kerja dalam bidang rel dan kereta api ECRL.

Sementara itu kerajaan Pusat memberi jaminan tambang projek ECRL  yang menelan kos RM55 bilion itu, berpatutan dan tidak membebankan rakyat. 

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, melalui projek berkenaan juga kerajaan akan memberi subsidi kepada rakyat sebagaimana sebelum ini melalui bidang pendidikan dan kesihatan dengan kewujudan hospital dan sekolah bersubsidi. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com