Pemuda Kasta Rendah Dibunuh Kerana Miliki Kuda


AHMEDABAD - Seorang pemuda daripada masyarakat kasta rendah Dalit dibunuh gara-gara memiliki dan menunggang seekor kuda.

Haiwan berkenaan dianggap simbol kuasa dan kekayaan di India.

Susulan itu, polis telah menahan dan menyoal siasat tiga suspek lelaki dari kasta tinggi Kshatriya yang ada kaitan dengan pembunuhan tersebut.

Mayat Pradeep Rathod ditemui dengan kesan tetakan di pinggir kampung Timbi di negeri Gujarat pada lewat malam Khamis.

"Mangsa pernah diugut suspek supaya tidak menunggang kuda kerana kasta Dalit dianggap tidak layak memiliki haiwan tersebut.

"Kuda tersebut dibeli bapa mangsa lapan bulan lalu," kata penguasa polis AM Saiyed.

Masyarakat Dalit sering berdepan diskriminasi melampau di India kerana statusnya sebagai kasta paling rendah di negara berkenaan.

Oktober lalu, seorang pemuda Dalit dibunuh sekumpulan lelaki gara-gara menghadiri persembahan tarian tradisional Hindu di Gujarat.

Perdana Menteri Narendra Modi sebelum ini pernah menggesa penduduk kasta tinggi supaya menghentikan serangan ke atas masyarakat Dalit. 

Sumber: The Indian Express

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com