Pemuda Alor Setar Dapat Pujian Starbucks Lepas Berkarya Atas Cawan


MEMPUNYAI minat yang dalam dalam bidang grafik dan kesenian, seorang pemuda sanggup meninggalkan kerjaya sebagai jurutera mekanikal untuk menjadi pereka grafik sepenuh masa.

Bakat yang dimiliki pemuda bernama Hasbullah Matt, 26, mula mendapat perhatian netizen apabila lukisannya ke atas cawan Starbucks di laman Twitter menjadi tular dan mendapat pujian jenama kopi yang berasal dari Amerika Syarikat itu.

Ianya bermula apabila Hasbullah memuat naik hasil karya lukisannya ke atas cawan Starbucks pada awal pagi Selasa dengan harapan syarikat kopi antarabangsa itu melihat lukisan kreatifnya itu.


“Saya tidak boleh menahan diri apabila melihat cawan ‘kosong’… dan hey @StarbucksMY, tolong perasan kehadiran saya!

“Bantu saya kawan-kawan, retweet supaya mereka boleh lihat cawan ini! Terima kasih,” tulisnya di laman tersebut.

Hasil kerja graduan Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka itu akhirnya berbaloi apabila Starbucks Malaysia memuji hasil kerjanya melalui Twitter dengan mengatakan ia merupakan hasil kerja yang hebat.


Di atas cawan-cawan kopi tersebut, pemuda yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu melukis gambar beberapa karakter anime yang sememangnya mencantikkan lagi cawan kertas berkenaan.

Melalui temubualnya bersama mStar Online, Hasbullah mendedahkan bahawa dia menggunakan empat jenis pen dari pelbagai saiz dan mengambil masa selama enam jam menyiapkan lakaran tersebut.


“Kalau nak dibandingkan, melukis di atas cawan kertas adalah lebih susah daripada kertas biasa.

“Kebiasaannya, saya hanya mengambil masa selama dua jam untuk melukis di kertas, tetapi untuk karya ini saya perlukan enam jam untuk menyiapkannya,” katanya kepada portal online itu.

Tambahnya yang kini bekerja sebagai pereka grafik sepenuh masa, dia sering menghasilkan lakaran kulit buku indie yang berada di pasaran serta bergantung kepada permintaan pelanggan.


Buat masa ini, Hasbullah hanya beroperasi dari rumahnya sendiri di Sungai Petani, Kedah yang menjadi tempat untuknya menghasilkan lakaran untuk klien.

Ketika ditanya berapa harga yang diminta sekiranya ingin menjual cawan kertas tersebut, Hasbullah berkata dia tidak berniat menjualnya namun terdapat beberapa orang yang mahukan lakaran tersebut.

“Saya tidak terfikir untuk menjualnya, tetapi ada beberapa individu yang menghantar pesanan peribadi untuk bertanya mengenai harga. Kalau saya nak jual mungkin dalam RM200,” ujarmya.

Ketika artikel ini ditulis, posting yang dibuat Hasbullah itu kini mendapat 1.6 ribu ulang kicau di Twitter dan menerima hanpir seribu tanda suka. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com