Pemimpin Parti Politik Bergelar Datuk Ditahan Positif Dadah


SEORANG Ketua Bahagian sebuah parti politik bergelar datuk ditahan dalam serbuan ke pusat hiburan di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, selepas didapati positif dadah awal pagi hari ini.

Serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2 pagi, susulan maklumat mengenai aktiviti hiburan tanpa lesen.

Hasil pemeriksaan dalam bilik bernombor 202, polis menahan lapan lelaki dan dua wanita tempatan serta dua wanita warga Indonesia dipercayai pelanggan pusat hiburan berkenaan bagi menjalani ujian saringan air kencing.

Menurut sumber, susulan itu, pemimpin parti politik berusia lewat 40-an terbabit dapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Pemimpin politik yang turut menganggotai beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu bersama sembilan lagi yang didapati positif dadah kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh mengesahkan perkara berkenaan, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Sumber -Hmetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com