Pemenang LTdL 2018 Dapat Hadiah Pertengahan Mei


KUALA LUMPUR - Semua pemenang Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 bakal menerima wang hadiah kemenangan masing-masing selewat-lewatnya pada pertengahan Mei depan.

Ketua Pegawai Operasi LTdL, M Kumaresan mengesahkan pihaknya sudah menyerahkan senarai penuh nama individu dan pasukan yang menang LTdL 2018 kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dua hari lalu (Khamis lalu).

Justeru, Kumaresan berkata, selaku penganjur LTdl 2018, Ciclista Sports Sdn Bhd, memberi jaminan wang hadiah kemenangan keseluruhan mencecah hampir RM1 juta akan dikreditkan terus ke akaun pasukan dan pelumba terbabit secepat mungkin selepas KBS menyalurkan peruntukan terbabit tidak lama lagi.

"Jadi kami jangka wang hadiah kemenangan berkenaan disalurkan terus ke akaun bank semua pemenang LTdL 2018 sebaik sahaja peruntukan diterima daripada KBS dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.

"Kita beri jaminan tiada masalah tunggakan bayaran berlaku kerana KBS memang sudah menyediakan peruntukan secukupnya mencecah RM12 juta untuk penganjuran LTdL 2018 termasuk hampir RM1 juta sebagai bayaran wang kemenangan kepada semua pemenang terbabit seperti dijanjikan sebelum ini," katanya ketika ditemui di Kejohanan Kriterium Program Pembangunan Berbasikal Remaja CIMB KLSC di sini, semalam.

Perlumbaan LTdL 2018 sejauh 1,341 kilometer (km) bermula 18 hingga 25 Mac lalu yang disertai 22 pasukan termasuk dua berstatus Pro Tour iaitu Astana Pro Team dan Dimension Data itu dimenangai pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Artem Ovechkin dari Russia yang juga pemenang jersi kuning dan pemenang keseluruhan terbaik. 

Walaupun sekadar menduduki tempat ke-37 pada peringkat terakhir dari Rembau ke Dataran Merdeka sejauh 141.1km, Ovechkin yang merampas kedudukan selaku pendahulu pada peringkat kelima dari Bentong ke Cameron Highlands mengekalkan status itu apabila mencatat masa keseluruhan 32 jam 06 minit 45 saat.

Naib juara pula milik pelumba CCC Sprandi Polkowice, Lukasz Owsian dengan catatan masa 32'07.12s dan diikuti Benjamin Dyball dari St George Continental Cycling Team (ketiga) ketinggalan 0.32s.

Bagaimanapun, perlumbaan peringkat terakhir itu dikuasai tiga pelumba dari Itali, Andrea Guardini yang turut memenangi jersi hijau atau Raja Pecut dari pasukan Bardiani CSF dengan catatan masa 3'10.25s; diikuti Manuel Belletti dari pasukan Androni Giocattoli-Sidermec dan pelumba Willier Triestina-Selle Italia, Luca Pacioni dengan catatan masa sama.

Pelumba Farco Amskin Racing, Alvaro Raul Duarte Sandoval pula dinobat Raja Bukit (jersi polka dot) selepas mengumpul 61 mata; pelumba Astana Pro Team, Yevgeniy Gidich pelumba terbaik Asia (jersi putih), manakala pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Zawawi Azman (pelumba terbaik Malaysia).

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com