Pemegang Kad Petronas Mesra Peroleh Faedah Kemalangan Peribadi Percuma


KUALA LUMPUR - Semua pemegang kad Petronas Mesra akan menikmati faedah Perlindungan Kemalangan Peribadi selama sebulan, berkuat kuasa 1 Mei 2018.

Ia merupakan tawaran eksklusif melalui kerjasama Petronas Dagangan Bhd (PDB) dengan Shieldcard Holdings Sdn Bhd dan Zurich General Insurance Malaysia Bhd.

Dalam kenyataan pada Isnin, PDB berkata, ia merupakan yang pertama ditawarkan oleh syarikat bahan api runcit di Malaysia.

“Perlindungan 24 jam itu ditawarkan dalam pilihan konvensional dan takaful, memberi anggotanya imbuhan  sebanyak RM50 sehari sebagai Bayaran Hospital Harian selama 30 hari bagi setiap peristiwa yang diinsuranskan,” menurut PDB.

PDB berkata sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal akibat kemalangan, anggota kad Mesra, keluarga atau waris berhak menerima pembayaran tunai sehingga RM25,000 (meningkat kepada RM50,000 jika peristiwa yang diinsuranskan berlaku pada hari cuti umum yang diwartakan kerajaan.

“Semua angggota kad Mesra akan menerima pesanan ringkas (SMS) atau emel daripada Petronas mengenai faedah Perlindungan Kemalangan Peribadi (PA) percuma ini,” menurut PDB.

Pemegang kad yang ingin terus menikmati faedah perlindungan ini untuk bulan berikutnya perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM100 setiap bulan untuk menyambung langganan mereka dengan 100 mata Mesra (bersamaan RM1) akan ditolak daripada akaun kad Mesra mereka.- Bernama


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com