Pembedahan Kuruskan Badan Jejas Hubungan Suami-Isteri


LONDON – Para penyelidik mendapati mereka yang menjalani pembedahan baria­trik untuk mengurangkan berat badan, boleh memberi kesan kepada hubu­ngan sesama manusia.

Lapor Channel News Asia, penyelidik dari Akademi Sahlgrenska di Uni­­versiti Gothen­burg berkata, mereka yang melakukan pembedahan tersebut ketika kahwin, berkemungkinan besar akan berdepan perceraian atau perpisahan.

Manakala sekiranya mereka menjalani pembedahan terbabit sebelum kahwin, individu tersebut bakal memulakan hubungan baharu atau berkahwin.

Penulis kajian terbabit, Per-Arne Svensson berkata, kesan pembedahan berkenaan bukan sahaja tertumpu kepada kehilangan berat badan tetapi lebih daripada itu.

Kajian pertama memban­dingkan 1,958 pesakit obesiti yang melakukan pembedahan bariatrik dengan 1,912 yang tidak menjalaninya.

Sebanyak 70 hingga 75 peratus yang menyertai kajian itu adalah wanita.

Secara keseluruhannya, seramai 999 peserta belum berkahwin. Dalam kumpulan ini, hampir 21 peratus peserta tersebut telah berkahwin atau memulakan hubungan baharu selepas empat tahun.

Sepuluh tahun kemudian, kira-kira 35 peratus daripada kumpulan tersebut telah berkahwin dan memulakan hubungan baharu.

Sebaliknya berlaku kepada kumpulan yang telah berkahwin sejak bermulanya kajian terbabit. Kadar perceraian atau perpisahan adalah sebanyak 4 peratus sele­pas empat tahun dan ia meningkat sebanyak 17 peratus selepas 10 tahun.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com