Pembahagian Kerusi DUN Antara Parti Pakatan Kedah Belum Selesai?


Walaupun tarikh penamaan calon pilihanraya umum ke 14 telah ditetapkan pada 28 April dan pengundian pada 9 Mei depan, pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara parti dalam Pakatan Harapan di Kedah dilaporkan belum lagi selesai.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual mengumumkan senarai penuh calon 36 DUN di negeri Jumaat ini.

Bagaimanapun pemimpin PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dikatakan masih berunding mengenai parti mana yang akan bertanding di 34 kerusi DUN.

Dua kerusi untuk DAP telahpun dimuktamadkan.

Menurut laporan NSTP, pemimpin PH di Kedah perlu memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi itu sebelum Dr Mahathir mengumumkan senarai penuh calon untuk 36 kerusi DUN Kedah.

Timbalan Pengerusi PH Kedah, Dr Azman Ismail tidak menolak kemungkinan akan berlaku pertukaran kerusi DUN antara PKR, PAN dan PPBM sebelum PH memuktamadkan senarai calonnya di negeri itu.

Sebelum ini semua komponen parti PH bersetuju dengan pecahan pembahagian kerusi DUN Kedah iaitu 14 kepada PPBM, masing-masing 10 kepada PKR dan PAN, manakala DAP mempertahankan dua kerusi milik parti itu.

Bagaimanapun berikutan ' pengharaman sementara PPBM' dan penggunaan logo tunggal PKR  pada PRU ini, 'masalah baharu' dijangka berlaku dalam pembahagian kerusi DUN antara parti kompnen dalam pakatan pembangkang  di negeri.

Selain itu, perebutan calon PPBM untuk bertanding juga dijangka tidak dapat dielakkan memandangkan  parti itu kali pertama mengambil bahagian dalam PRU..

Namun semua calon perlu akur dengan keputusan yang akan dibuat oleh Dr. Mahathir kelak. - Kedahnews.com 


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com