Pemaju Ambil Pengendali Kren ‘Haram’ Kerana Gaji Murah


PETALING JAYA - Sesetengah pemaju dan kontraktor didakwa menggunakan khidmat pengendali kren haram terdiri daripada warga asing di tapak pembinaan yang berisiko membahayakan pekerja dan orang ramai berdekatan tapak projek.

Berita Harian (BH) warga asing semakin menguasai pengendalian kren di tapak pembinaan kerana gaji mereka lebih murah serta majikan tidak perlu mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk warga asing itu yang tidak mendapat sijil kompeten daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Menurut laporan itu, kontraktor juga boleh mengerah warga asing bekerja tanpa had, khasnya selepas jam 5 petang yang disifatkan “waktu selamat” kerana boleh mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Kebanyakan mereka mengabaikan aspek keselamatan, tidak memakai pakaian bersesuaian dan kelengkapan keselamatan lain ketika mengendalikan kren. Mereka hanya tahu bawa kren, tapi tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya.

“Sebab itulah kerap berlaku kemalangan di tapak projek. Lebih teruk, mangsa pula bukan hanya pekerja di situ, tetapi dalam sesetengah kes turut membabitkan orang awam yang lalu lalang berhampiran lokasi projek,” menurut sumber dipetik BH.

Sumber itu berkata, operator kren “haram” ini biasanya digunakan di tapak projek terletak di kawasan kurang “diganggu” pihak berkuasa dan pembinaan yang beroperasi 24 jam untuk menggantikan operator tempatan yang bertugas syif biasa.

Katanya, operator sah perlu menghadiri kursus dengan bayaran lebih RM2,000 dan mengambil pelbagai ujian dengan JKKP untuk mendapatkan lesen.

“Warga asing tak perlu bersusah payah melalui semua itu. Mereka dibayar RM10 hingga RM15 sejam untuk kendali kren, manakala gaji kasar bagi operator tempatan antara RM24 hingga RM25 sejam atau RM3,500 hingga RM4,000 sebulan, tidak termasuk kerja lebih masa,” kata sumber itu.

Pengarah JKKP Kuala Lumpur dan Putrajaya, Husdin Che Amat dipetik akhbar itu berkata majikan yang menggunakan warga asing sebagai operasi kren akan didenda, dipenjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, selain diarah menghentikan operasi pembinaan serta-merta.

Sumber: FMT

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com