Pelajar UniMAP Maut Ketika Aktiviti Mendaki Bukit


PADANG BESAR - Seorang pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) maut ketika menjalani aktiviti mendaki Bukit Pelarik di Kaki Bukit di sini, awal pagi tadi.

Nur Hayanis Hairunizan, 20, dikatakan jatuh tersembam ketika menuruni bukit itu, namun masih mampu meneruskan perjalanan sebelum tiba-tiba pengsan.

Mangsa yang sedang mengikuti pengajian tahun satu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Kepujian) (Teknologi Makanan), disahkan meninggal dunia oleh doktor pada jam 3 pagi.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Pemangku Superintendan Muhamad Halim Yatim, berkata pihaknya mendapat panggilan kecemasan pada jam 12.20 tengah malam.

Katanya, operasi menyelamat membabitkan anggota bomba dan pasukan perubatan dari Jabatan Kesihatan Hospital Tuanku Fauziah (HTF)

"Mangsa bersama 26 pelajar UniMAP dan tiga tenaga pengiring mendaki bukit itu pada jam 8.30 pagi semalam, diketuai seorang penyelaras program terbabit.

"Pada jam 3 petang, peserta turun dari bukit dalam kumpulan kecil. Mangsa adalah kumpulan terakhir yang turun.

"Mangsa dikatakan jatuh tersembam ketika menuruni bukit, namun mampu berdiri semula untuk meneruskan perjalanan," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa kemudian tiba-tiba pengsan ketika masih di atas bukit itu.

"Pasukan penyelamat terpaksa mendaki dengan dibantu pihak Jabatan Perhutanan sebelum tiba di lokasi kejadian, namun mangsa disahkan meninggal dunia di atas bukit terbabit," katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa turun dan dihantar ke HTF untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut berikutan tiada unsur jenayah yang menyebabkan kematian mangsa," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com