Pelajar UiTM Cipta Kenderaan Tanpa Pemandu


INDUSTRI automotif dunia kini giat menginovasikan prototaip kenderaan tanpa pemandu yang dijangka akan memudahkan penggunanya nanti.

Usaha itu tidak hanya terhad kepada ‘pemain’ utama bidang ini di tahap antarabangsa, bahkan pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga tidak ketinggalan apabila mereka berjaya mencipta kenderaan tanpa pemandu diberi nama Urban IntelligenT Mobile (Uitm) Autonomous Vehicle 1 (AV1).

Kejayaan reka cipta tersebut adalah hasil usaha 15 orang termasuk pelajar dan pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, serta Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka.


Pembangunan kenderaan tersebut telah melibatkan tenaga mahir dan pakar melalui penglibatan manusia secara minimum.

Memetik laporan sebuah akhbar tempatan, kereta tersebut diawasi, dikoordinasi dan diintegrasi dengan menggunakan teknologi pengkomputeran dan komunikasi serta kepintaran buatan (AI) yang selaras dengan perkembangan era Revolusi Industri 4.0.

Kenderaan tersebut mampu mengenal pasti kedudukan semasa dan melakukan pemetaan laluan dengan sendiri.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Kejuruteraan Elektrikal, UiTM merangkap Ketua Projek Uitm AV1, Dr. Juliana Johari berkata, secara dasarnya kereta berkenaan merupakan gabungan teknologi kenderaan elektrik (EV) dan teknologi kenderaan autonomous (AV).


“Dengan kejayaan pelancaran Uitm AV1, kini kami diminta untuk merealisasikan impian untuk mencipta kereta tanpa pemandu AV2 yang ditambah baik dari segi teknologi supaya kereta mampu bergerak sejauh 80 kilometer (km) sejam dengan jarak sejauh 200 km,” ujarnya.

Pelancaran kereta pintar itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh di UiTM, Dengkil, Selangor baru-baru ini.

Kejayaan penyelidik Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) kenderaan tanpa pemandu bukan sahaja membuktikan kepakaran anak tempatan tetapi kejayaan universiti mendidik mahasiswa berpotensi menghasilkan sesuatu inovasi yang boleh dibanggakan negara.  - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com