Pelajar Lelaki Mati Lemas Di Pulau Beras Basah, Langkawi


ALOR SETAR - Seorang pelajar lelaki dilaporkan dari Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah di Melaka ditemui mati lemas di Pulau Beras Basah, Langkawi dekat sini pada Ahad.

Mangsa, Muhamad Aiman Nazmi Ahmad Najib, 16, dikatakan ditemui oleh gurunya dalam keadaan terapung setelah disedari hilang kira-kira pukul 2 petang.

Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim (DM) 1, Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata, mangsa yang menyertai rombongan sekolahnya tiba di pulau tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah hari bagi menjalankan aktiviti island hopping.

"Seorang guru pengiring kemudian menyedari mangsa hilang pada pukul 2 petang ketika hendak beredar dari pulau tersebut.

"Usaha pencarian mangsa dilakukan oleh rakan dan guru-guru sebelum menemui remaja terbabit terapung dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini memetik Kosmo.

Difahamkan, usaha menyelamatkan mangsa turut dilakukan pemandu bot yang memberikan bantuan pernafasan tetapi malangnya mangsa tidak memberikan reaksi positif.

"Bot peronda Petir 81 bergegas ke tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke jeti Maritim Malaysia (APMM) pada pukul 3.20 petang tadi sebelum dibawa ke Hospital Langkawi," ujarnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com