Pekerja Bunuh Majikan, Soroh Dalam Lubang Bawah Rumah Kontena


JOHOR BAHRU - Polis menemui mayat seorang wanita dipercayai pemilik sebuah syarikat menjual lori di dalam sebuah lubang di bawah rumah kontena tempat tinggal pekerjanya di Jalan Sri Purnama, Kampung Sri Purnama dekat sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, wanita itu yang dikenali sebagai Goh Geok Leng, 43, pada mulanya dilaporkan hilang pada pukul 7.30 malam semalam oleh seorang pekerjanya.

"Pekerja mangsa mendapati majikannya tiada di tempat kerja dan kali terakhir dilihat kira-kira pukul 2 petang kelmarin.

"Kesemua barang milik mangsa didapati masih berada di dalam pejabat sebelum pekerja mangsa membuat pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan majikannya telah pergi ke belakang pejabat sebelum menghilangkan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Hasil pemeriksaan lanjut, pekerja perempuan terbabit menjumpai kasut majikannya lalu membuat laporan ke balai polis kerana mengesyaki majikannya itu diculik.

Shahurinain berkata, hasil siasatan pihaknya menahan dua pekerja mangsa iaitu dua lelaki warga Myanmar, masing-masing berusia 20 dan 39 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu. Mereka direman bermula hari ini sehingga 20 April.

"Kita masih mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai masih bebas," kata beliau.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk dibedah siasat. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com