Pekan, Langkawi Curi Tumpuan – Penganalisis


KUALA LUMPUR – Pekan dan Langkawi disifatkan sebagai antara kerusi paling mencuri tumpuan kerana dua figura yang bertanding, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad kata Penganalisis Politik, Prof Dr Hamidin Hamid.

Pada masa sama menyifatkan personaliti dua tokoh berkenaan akan menghangatkan kempen pilihan raya dan pengundian 9 Mei ini.

“Buat masa ini apa yang kita jangkakan tiga penjuru itu menjadi kenyataan. Namun, saya lebih melihat dari segi personaliti.

“Saya rasa game on Langkawi dan Pekan, itu menunjukkan pertembungan personaliti cukup besar iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Apa yang mewakili dua arus ini, itu yang kita akan lihat dalam sebelas hari ini dan kemudian pada 9 Mei nanti,” katanya petik Awani.

Sehubungan itu, parlimen Pekan bakal menyaksikan pertandingan antara Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai calon Barisan Nasional (BN) dengan calon PKR daripada PPBM, Zahid Mat Arip; Kapten (B) Ahiatudin Daud mewakili Pas dan calon Bebas, Datuk Paduka Abd. Kadir Sainudin.

Manakala, Tun Dr Mahathir yang bertanding di kerusi Parlimen Langkawi bakal berentap di pertandingan tiga penjuru iaitu dengan calon BN, Datuk Nawawi Ahmad dan calon Pas, Zubir Ahmad.

Sementara itu, Penganalisis Geopolitik dan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali menyifatkan persaingan yang sangat sengit pada PRU14 9 Mei ini.

“Apa yang saya rasa PRU14 ini, ia sangat menarik di mana ada pertandingan tiga penjuru, dan kita tidak sangka fenomena ada (calon) yang dilucutkan daripada bertanding.

“Jadi, inilah yang menjadi lebih sengit. Mungkin ketidakpuasan hati yang timbul dan sejauh mana jentera-jentera melihat bahawa inilah yang kita perlu sokong atau sanjung dalam memastikan kemenangan sesuatu kawasan itu.

Malah, bagi yang tidak dicalonkan atau bertanding, katanya, mereka mampu menyemarakkan lagi semangat PRU14 dan memberi sokongan kepada jentera parti masing-masing.

Sumber: TV14


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com