Pegawai Polis Pun Nak Jadi Ahli Kongsi Gelap Jugak


PEGAWAI polis berpangkat Asisten Superintendan dan dua anggota polis antara 63 individu ditahan melalui dua operasi membanteras kegiatan kongsi gelap di negeri ini.

Dalam operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor sejak 29 Mac hingga petang semalam, semua yang ditahan disyaki terbabit dalam dua kumpulan kongsi gelap iaitu Geng 08 dan Geng 18.

Turut ditahan, dua individu berstatus Datuk dan Datuk Seri dan penahanan itu dipercayai melumpuhkan kedua-dua kumpulan kongsi gelap terbabit.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, operasi Cantas Khas dinamakan Ops Spider (Geng 08) dan Ops Api Reload (Geng 18) turut mendapat bantuan daripada Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Pasukan Tindakan Khas (STAGG), Bahagian D8 (Operasi Khas) dan Bahagian D9 (Siasatan Khas) Bukit Aman.

Beliau berkata, turut membantu operasi berkenaan pasukan Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN).

“JSJ Selangor menyasarkan 83 ahli geng berkenaan yang bergiat aktif dan sehingga kini, 63 diberkas iaitu 36 ahli Geng 08 dan 27 orang ahli Geng 18.

“Daripada jumlah berkenaan, polis menahan seorang berstatus Datuk Seri dan Datuk manakala seorang pegawai polis berpangkat ASP dan dua lagi masing-masing berpangkat Sarjan Mejar dan konstabel,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam, semalam.

Beliau berkata, semua suspek berusia 23 hingga 60 tahun itu ditahan di beberapa negeri iaitu Selangor, Pahang, Perak, Kelantan, Johor, Melaka dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

“Semua yang ditahan adalah ahli aktif dan dipercayai terbabit dalam kumpulan jenayah terancang.

“JSJ Selangor masih mengesan 24 lagi suspek yang sudah disenarai hitam sebagai orang dikehendaki polis,” katanya.

Mazlan berkata, dalam serbuan itu, JSJ turut merampas sepucuk pistol, pelbagai jenis kenderaan termasuk empat motosikal, sejumlah barang kemas, 73 telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM17,000 serta parang.

“Selain itu, pasukan AMLA mengambil tindakan pembekuan dan penyitaan harta milik semua tangkapan iaitu 38 akaun bank, empat hartanah, 11 kereta, dua motosikal berkuasa tinggi, wang tunai RM16,800 dan 72 bentuk barang kemas bernilai RM100,000.

“Jumlah keseluruhan rampasan setakat ini adalah RM3.16 juta,” katanya.

Mazlan berkata, polis Selangor percaya penangkapan berkenaan dapat menyelesaikan kira-kira 40 kes jenayah serius di Selangor antaranya kes bunuh di Jeram pada Januari lalu, kes tembak dan bunuh di hadapan sebuah sekolah di Serdang, kes melepaskan tembakan di rumah di Serdang dan banyak lagi.

Katanya, semua suspek ditahan reman selama 28 hari mengikut peruntukan Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA 2012.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan, Seksyen 130W Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan iaitu Perolehan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001),” katanya.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com